Ahmad Zahid Ditahan Untuk Pendakwaan

KUALA LUMPUR, 18 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ditahan untuk pendakwaan berhubung siasatan salah guna kuasa, pecah amanah dan penggubahan wang haram melibatkan dana sebuah yayasan setelah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.

Dalam satu kenyataan media oleh pihak Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM, penahanan dibuat pada jam 3.15 petang di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya hari ini.

Susulan itu Ahmad Zahid akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Ahmad Zahid akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 19 Oktober 2018, jam 8 pagi untuk pertuduhan tersebut.

Petang tadi Ahmad Zahid tiba di SPRM kira-kira pukul 3 petang.

Beliau yang memakai baju batik kemudiannya melambaikan tangan kepada pengamal media yang menunggu ketibaanya sejak awal petang tadi sebelum memasuki pejabat berkenaan.

Ahmad Zahid Hamidi semalam diminta hadir hari ini di SPRM Putrajaya untuk diambil keterangan buat kali keenam.

Sementara itu, diluar perkarangan Pejabat SPRM, kelihatan pimpinan UMNO serta rakan-rakan seperjuangan lain berkumpul menyatakan solidariti kepada Presiden UMNO berkenaan. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.