Tindakan Ke Atas Pemimpin UMNO Bermotif Politik

JOHOR BAHRU, 18 Okt – Sejak akhir-akhir ini, terdapat tindakan yang dikenakan ke atas pemimpin UMNO yang disifatkan adalah bermotifkan politik dan percaya ia merupakan pendakwaan yang dibuat secara terpilih, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad.

Tegasnya, UMNO sudah terlibat secara langsung dalam menggubal undang-undang Persekutuan dan sejak itu, UMNO sentiasa berpegang teguh kepada keluhurannya.

“UMNO Johor akan terus berpegang teguh kepada prinsip perjuangan parti. Setiap ahlinya bertanggungjawab untuk mempertahankan parti, maka sebarang tindakan yang merosakkan parti akan ditentang,” katanya dalam satu kenyataan berhubung dengan tekanan dan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, Dr Ahmad Zahid dijangka akan didakwa esok dan satu lagi sejarah hitam bakal terjadi kepada parti setelah bekas Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima nasib yang sama.

“UMNO Johor juga berpendirian bahawa ahli-ahlinya perlu diberi gambaran yang jelas dan tepat serta telus berkaitan semua hal yang berlaku.

“Dan sebagai menghormati Presiden, UMNO Johor akan melantik beberapa pengamal undang-undang untuk mengikuti perbicaraan dan mereka kemudiannya akan menjelaskan mengenai perkembangannya.

“Ingin saya menegaskan, ahli UMNO bukanlah pengikut yang membuta tuli, lebih lagi mereka merupakan ahli yang sentiasa menghormati undang-undang. Apa yang kita harapkan adalah keadilan ke atas apa yang berlaku.”

Justeru katanya, UMNO Johor berharap ahli-ahlinya di negeri terbabit akan terus berdoa semoga Presiden UMNO tabah dan memohon agar diberi hidayah dan petunjuk serta dilindungi daripada sebarang musibah. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.