Ahli Parlimen Batu Kawan Didesak Mohon Maaf, Kalau Tidak Tahu Agama Jangan Memandai-mandai


NIBONG TEBAL, 18 Okt – Ketua Pemuda UMNO Nibong Tebal Mohd Norhiesam Hj Ismail mendesak agar Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani, agar berhenti dan jangan mencampuri urusan hal ehwal agama Islam.

Jelas beliau, kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Batu Kawan dalam ucapan di sidang Dewan Rakyat semalam amat memalukan maka beliau perlu menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf atas kesilapan kenyataan beliau demi sensitiviti umat Islam.

“Kami warga Pulau Pinang berasa kesal dengan kenyataan beliau yang jelas tidak memahami tentang hal ehwal Islam berkaitan agama dan fahaman, walaupun beberapa kali ditegur oleh Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim namun sedikitpun tidak diendahkan.

“Bagi saya, beliau tidak layak bercakap berkaitan hal tersebut kerana beliau tidak memahami dan terlalu dangkal terhadap perkara itu”, katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Sepatutnya tegas beliau sebelum bercakap perlulah dirujuk kepada mereka yang lebih mengetahui terhadap konsep agama dan fahaman yang ingin dibentangkan.

“Untuk pengetahuan Ahli Parlimen Batu Kawan, di Malaysia hanya aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah sahaja yang diiktiraf dan bukannya fahaman Syiah, Ahmadiah dan Bahai seperti yang disebutkan oleh Yang Berhormat.

“Penahananan pesalah-pesalah agama ini juga dibuat adalah untuk menghalang dari ajaran-ajaran sesat dari tersebar di Malaysia. Yang Berhormat perlu tahu itu,” ujarnya.

Tambah Norhiesam, Ahli Parlimen Batu Kawan dalam kenyataannya juga ada menyebut bahawa Syiah, Ahmadiah dan Bahai itu adalah Agama sedangkan ini merupakan fahaman yang sesat dalam Islam.

“Dalam Perkara 3, Perlembagaan menyebut hanya Islam adalah agama Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan, jadi sebagai Yang berhormat maka beliau seharusnya perlu memahami pendirian Malaysia dan bukannya Iran.

“Jadi tidak perlu memandai-mandai menyamakan ajaran yang diamalkan oleh Iran dan Malaysia. Syiah dan Ahmadiah bukanlah agama tetapi adalah fahaman yang sesat seperti yang disepakati oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Perkara ini jelas dan tidak perlu lagi dipertikaikan lagi. Sebab itu saya tegaskan di sini, kalau tidak tahu tidak perlu cakap.

“Apa yang saya risaukan adalah kenyataan beliau akan memaparkan imej buruk serta tidak benar terhadap Islam sebagai Agama rasmi negara kita dan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai fahaman yang diiktiraf oleh Majlis Fatwa Kebangsaan,” tegas beliau.

Pemuda UMNO Nibong Tebal juga ingin mengingatkan Ahli Parlimen Batu Kawan supaya tidak lagi mencampuri Hal Ehwal Islam tetapi fokuslah kepada kawasan Parlimen Batu Kawan yang mempunyai banyak masalah yang belum selesai seperti masalah kebajikan rakyat, banjir dan insfrastuktur yang tidak memuaskan walaupun sudah dua penggal menjadi Ahli Parlimen.

Selain itu juga, tanggungjawab sebenar beliau sebagai Ahli Parlimen yang berada di bawah kerajaan PH hari ini adalah terus mendesak dan memastikan Manifesto PRU-14 yang dijanjikan dapat ditunaikan, bukannya sibuk mencampuri Hal Ehwal Islam yang beliau sendiri tidak faham. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.