Demonstrasi Di Parlimen, Gaji Minimum RM1,050 Tidak Beri Makna Kepada Pekerja

KUALA LUMPUR 17 Okt. – Perlaksanaan gaji minimum RM1,050 yang akan bermula Januari tahun depan tidak memberi apa-apa makna kepada golongan pekerja.

Menurut wakil penganjur Demonstrasi Bantah 1050, S. Arutchelvan, gaji minimum itu tidak mencukupi bagi golongan pekerja berpendapatan rendah memandangkan peningkatan kos sara hidup dan ketika ini.

Kata beliau, Khazanah Nasional dalam Laporan Keadaan Isi Rumah 2018: Realiti Berbeza yang diumumkan kelmarin menyatakan, pada 2016 wang isi rumah berpendapatan bawah RM2,000 hanya berbaki RM76.

Menurut Arutchelvan, laporan itu juga menyatakan, 94.8 peratus daripada pendapatan mereka untuk barangan pengguna menjadi keputusan untuk menetapkan gaji minimum pada kadar RM1,050 tidak masuk akal.

“Oleh itu kami meminta kepada kerajaan untuk mengkaji kembali kadar gaji minimum yang telah ditetapkan dan bakal dilaksanakan pada Januari hadapan.

“Kadar RM1,050 ini adalah permintaan majikan pekerja. Jumlah ini tidak memadai memandangkan kos sara hidup ketika ini semakin meningkat,” kata beliau kepada media.

Arutchelvam bersama lebih 500 ahli 17 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Suara Rakyat Malaysia (Suaram) hadir di bangunan Parlimen pagi tadi bagi menyatakan bantahan terhadap penetapan gaji minimum sebanyak RM1,050 yang yang telah diputuskan kerajaan pada September lepas.

Bantahan yang diketuai Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J. Solomon itu bermula seawal 10.30 pagi.

Kumpulan tersebut kemudian berarak ke pintu masuk Parlimen dengan membawa kain rentang dan poster tertera perkataan-perkataan Bantah 1050, Jangan Miskinkan Pekerja, Majikan Kaya dan Pekerja Merana.

Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran kemudian hadir bertemu wakil kumpulan tersebut sebelum mengajak mereka mengadakan pertemuan secara formal di dalam bangunan Parlimen.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan kadar gaji minimum yang seragam di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak iaitu RM1,050 sebulan atau RM5.05 sejam berkuat kuasa 1 Januari 2019. – UTUSAN ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.