Parlimen Sipitang Kekal Milik UMNO

KOTA KINABALU, 16 Okt – Kerusi Parlimen Sipitang kekal milik UMNO manakala kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang dan Sook masing-masing kekal milik Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Ini susulan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya membenarkan bantahan awal yang difailkan wakil rakyat UMNO, PBS dan PBRS terhadap petisyen pilihan raya yang difailkan oleh calon-calon Parti Warisan Sabah (Warisan).

Pada prosiding di dalam kamar hakim semalam, Hakim Datuk Lee Heng Cheong membenarkan bantahan awal Yamani Hafez Musa, Dr. Joachim Gunsalam dan Datuk Ellron Angin yang masing-masing memenangi kerusi Parlimen Sipitang, DUN Kundasang dan DUN Sook pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu terhadap petisyen pilihan raya yang masing-masing difailkan oleh Noor Hayaty Mustapha, Siriman@ Mohd Fazid Basir dan Martin Tomy@ Tommy.

Mahkamah turut memerintahkan setiap pempetisyen membayar kos RM20,000 kepada Yamani Hafez, Dr Juachim dan Ellron Angin, masing-masing.

Hakim juga memerintahkan ketiga-ketiga pempetisyen membayar kos masing-masing RM5,000 terhadap pegawai pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bercakap kepada pemberita selepas prosiding berkenaan, seorang daripada peguam yang mewakili ketiga-tiga responden, Tengku Fuad Tengku Ahmad berkata hakim menolak petisyen pilihan raya yang difailkan calon-calon Warisan disebabkan kegagalan pempetisyen mengemukakan keperluan-keperluan utama ketika memfailkan petisyen berkenaan.

Pada prosiding hari ini, Noor Hayaty diwakili peguam Fareez Salleh dan Chung Jiun Dau sementara Siriman diwakili oleh peguam Baldev Singh dan Stella Simon manakala Martin Tomy diwakili peguam Nelson W. Angang and Jaikol Situn.

Peguam Japar Esteban, Muammar Julkarnain, Shahlan Jufri, Syahrulnizam Salleh, Abdul Fikry Jaafar Abdullah and Faizal Sardi pula mewakili Pegawai Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Kerusi Parlimen Sipitang, DUN Kundasang dan DUN Sook masing-masing dimenangi UMNO, PBS dan PBRS atas tiket Barisan Nasional.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.