Hapus Tol Dulu Sebelum Mansuh Hukuman Mati

KUALA LUMPUR 16 Okt. – Sebelum kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhasrat memansuhkan hukuman mati, adalah disarankan mereka menghapuskan kutipan tol di semua lebuh raya terlebih dahulu.

Timbalan Presiden MCA, Wee Ka Siong berkata, kerajaan dilihat tergesa-gesa dalam membuat keputusan tersebut tanpa mengambil kira pandangan dan reaksi daripada pelbagai pihak.

“Kalau kita nak mansuhkan hukuman mati mandatori seperti mana yang ada dalam manifesto PH, mereka juga cakap manifesto itu bukan kitab suci.

“Kalau kata nak patuhi juga, mansuhkan tol dulu sebelum mansuhkan mati mandatori,” katanya di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Jelas Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam, terdapat pelbagai cara lain yang boleh dipertimbangkan kerajaan PH sebelum memansuhkan hukuman mati mandatori itu, antaranya menyemak semula Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kena lihat sentimen keluarga mangsa pembunuhan yang telah kehilangan orang tersayang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.