PH Gagal Bawa Pelaburan Baru, Pembatalan Projek Mega Beri Impak Negatif – Mahdzir


Kuala Lumpur, 15 Okt – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mampu merealisasikan kemakmuran ekonomi dan pembangunan infrastruktur yang seimbang apabila dilihat berterusan gagal untuk membawa masuk pelaburan baru di dalam negara selain membatalkan projek-projek mega yang ada.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata tindakan PH untuk membatalkan projek-projek mega yang melibatkan pelaburan dari China misalnya telah memberikan impak negatif kepada perkembangan ekonomi negara yang dilihat kian mengucup.

Menurut beliau perkara ini dipersetujui oleh para pakar ekonomi bahawa pembatalan projek mega berimpak tinggi seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 billion yang kemudiannya meningkat kepada RM66.7 billion di bawah pimpinan kerajaan PH akan merencatkan pertumbuhan ekonomi negara dan kemungkinan menyebabkan Malaysia ketinggalan di belakang Thailand, Vietnam dan Indonesia menjelang 2023.

“Kesannya, China telah bertindak balas dengan mengalihkan eksport minyak sawit mereka daripada Malaysia ke Indonesia menerusi perjanjian pembelian minimum 500 ribu tan minyak sawit dari negara. Rentetan itu, pada 12 Julai lalu, syarikat China membeli minyak sawit tambahan dari Indonesia sebanyak US$726 juta.


“Berikutan janji itu, Harga minyak sawit sudah menyusut di bawah RM2,100 setiap tan dan ini adalah paling rendah dalam tempoh tiga tahun. Hasilnya, eksport Malaysia ke pasaran China kian merosot dan Malaysia dilihat akan terus ketinggalan dalam penguasaan pasaran ekonomi antarabangsa,” katanya yang juga Ahli Parlimen Padang Terap dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Sungguhpun demikian katanya,  masih terdapat sesetengah pihak yang berpendapat bahawa kehilangan eksport sawit dan getah tidak memberikan impak yang begitu besar kepada ekonomi negara.

Namun tegasnya, tanpa disedari kesannya amat dirasai oleh para peneroka serta pekebun kecil sawit apabila harga komoditi tersebut kian jatuh sehingga menjejaskan pendapatan mereka maka, adalah penting untuk Malaysia ′menyelesaikan masalah menerusi rundingan’ dengan memberikan penekanan kepada diplomasi ekonomi agar rakyat akan terus mengecapi kemakmuran ekonomi dan pembangunan infrastruktur yang seimbang.

“Sungguhpun demikian, impian tersebut tidak mampu direalisasikan apabila di bawah pimpinan kerajaan PH yang dilihat berterusan gagal untuk membawa masuk pelaburan baru di dalam negara. Moga rakyat akan lebih bijak menilai yang mana kaca dan yang mana permata.

“Sebagai sebuah negara yang membangun dan juga menuju era negara maju, Malaysia telah berusaha mengukuhkan kedudukannya melalui mekanisme dasar luarnya dan mengutamakan Dasar Diplomasi Ekonomi bagi memperkukuhkan aliran kewangan negara serta meningkatkan ekonomi rakyat menerusi perdagangan antarabangsa.

“Justeru itu, negara-negara yang bergantung kepada perdagangan seperti Malaysia tentu akan memelihara hubungan yang baik dengan negara-negara lain bagi memasarkan barangannya dan mengeksport sawit dan getah ke pasaran antarabangsa terutamanya ke negara China,” ujar beliau.

Sementara itu, pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat pagi tadi, Mahdzir yang melibatkan diri dalam perbahasan usul Menteri Luar Negeri berkenaan hala tuju dasar luar negara Malaysia Baharu sejajar dengan ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad di Perhimpunan PBB ke-73 pada 28 September yang lalu turut menyentuh perkara yang sama.

“Namun demikian, saya berkesempatan menzahirkan kebimbangan dan kegusaran saya bersama sebahagian besar rakyat Malaysia berkenaan kerangka dasar diplomasi ekonomi yang telah memberikan impak negatif kepada ekonomi negara dan rakyat,“ tambahnya lagi. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.