Ahmad Maslan Cadang Lima Perkara Kerangka Asas Dasar Luar Malaysia Baru

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan mencadangkan lima perkara sebagai kerangka asas dasar luar Malaysia baru yang boleh difikirkan oleh kerajaan hari ini.

Pertama menurut beliau ialah perlu ada kenyataan untuk mempromosi dan melaksanakan dasar perdagangan yang bebas dan adil kerana dasar perdagangan luar negara bukan hanya perlu bebas tetapi juga perlu adil dalam usaha mencapai apa yang dihasratkan.

“Kita telah menandatangani kalau tidak silap saya ada 13 perjanjian dagangan bebas…saya kira apakah negara lain yang perlu kita tambah segala perjanjian dagangan bebas ini supaya segala eksport kita bertambah dan negara kita akan lebih makmur.

“Perdagangan dan pelaburan adalah dua perkara yang berbeza. Maksudnya kalau ada syarikat-syarikat di negara kita yang ingin melabur di mana-mana negara dalam dunia mereka syarikat berkenaan mesti diberikan layanan yang adil sebagaimana syarikat luar yang datang berdagang di negara kita.

“Oleh itu bukan hanya kita mencari pelabur-pelabur asing datang ke negara kita, usaha kementerian luar juga perlu memainkan peranan membawa syarikat-syarikat Malaysia untuk melabur di negara luar. Usaha ini perlu diambil peranan penting oleh kementerian luar dalam usaha memperhebatkan peranan Wisma Putra,“ katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan isu dasar luar Malaysia Baru, di Parlimen.

Perkara ketiga tambah beliau perlunya pihak berkenaan mempromosi dan melaksanakan gerakan kesederhanaan di peringkat antarabangsa kerana gerakan ini boleh membantu untuk mengurangkan ekstremisme.

“Cadangan keempat ialah supaya peranan Malaysia untuk menghentikan segala jenis bentuk peperangan perlulah dibuat termasuklah peperangan budaya seperti LGBT  serta perang dagang. Apakah strategi Kementerian luar untuk memastikan kita dapat mengurangkan kesannya,” katanya.

“Seterusnya adalah meningkatkan peranan Malaysia dalam OIC dan suara Malaysia patut lebih kuat dan jelas dalam hal yang berkaitan dengan kepentingan  umat  Islam,” ujarnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.