Makmurkan Negeri… Bukan Berebut Jawatan – Kak Su


ALOR SETAR, 14 Okt – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang Datuk Suraya Yaacob menegur kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Kedah agar lebih fokus membina negeri ke arah kecemerlangan daripada berlumba-lumba mengejar kepentingan peribadi.

Menurut Suraya, walaupun polemik perebutan jawatan menteri besar di negeri tersebut yang menjadi ‘rahsia terbuka’ telah dinafikan pihak berkaitan tetapi ia masih kuat kedengaran serta menjadi keresahan di kalangan rakyat.

“Keadaan ini cukup memberi keresahan di kalangan rakyat Kedah yang mengharapkan agar kerajaan negeri mentadbir negeri jelapang padi ini dengan lebih mantap dengan pelbagai dasar baharu yang benar-benar memakmurkan negeri.

“Sudah-sudahlah berpolitik merebut kerusi menteri besar sesama sendiri kerana ia hanya akan menyebabkan kepentingan rakyat terabai selain menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri.

“Kita berharap agar semua ADUN PH dan kepimpinannya supaya tidak mempergunakan kedudukan mereka sebagai kerajaan negeri untuk kepentingan diri sendiri,” tegas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu dalam entri terbaharu di facebooknya, baru-baru ini.

Ketua UMNO Bahagian Pendang yang lebih mesra dengan panggilan Kak Su itu turut membidas tindakan segelintir pemimpin parti PKR yang bersikap ‘baling batu sembunyi tangan’ dengan mengeruhkan kestabilan politik di negeri ini.

“Sesungguhnya mandat dan kuasa yang diberikan majoriti rakyat merupakan satu amanah yang perlu digalas secara adil.

“Juga memberi kemakmuran secara holistik dalam pembinaan sebuah negeri demi masa depan yang lebih gemilang,” ujarnya. – Media UMNO.