Jelajah Puteri UMNO Rapatkan Ukhuwah Akar Umbi, Perkuatkan Jentera Parti
MASJID TANAH, 13 Okt – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia kini memasuki negeri ketiga dalam program jelajah ukhuwah untuk memperkenalkan barisan exco di peringkat akar umbi.
Jelas ketuanya Datuk Zahida Zarik Khan, ini bertujuan untuk merapatkan hubungan hubungan antara kepimpinan Puteri dengan akar umbi.
“Sekarang ini kita sudah menjadi pembangkang jadi cara kita bekerja juga harus berbeza.
“Jika hubungan kepimpinan Puteri dengan akar umbi tidak rapat, bagaimana kita mahu menjadi luar biasa membantu parti dalam pilihan raya akan datang”, ujar beliau dalam program Jelajah Ukhuwah Puteri UMNO peringkat negeri Melaka di sini, hari ini.
Tambah beliau adalah penting untuk merapatkan ukhuwah di samping bertukar-tukar pandangan kerana selama ini UMNO tidak pernah menjadi pembangkang.
“Ramai yang masih tertanya-tanya hala tuju Puteri tetapi sebenarnya kerja sebagai pembangkang ini mudah.
“Kita harus pandai penghasut… tetapi bukan menghasut dengan menfitnah seperti pembangkang yang dulu. Sekarang ini banyak peluru yang kita ada. Kita gunakan segala kegagalan dan janji palsu kerajaan baru untuk kita sebarkan kepada rakyat,” katanya.
Perlu juga diingat tegasnya sekarang ini bukan masa terus memikirkan kenapa UMNO, BN kalah tetapi sekarang waktu untuk bangkit bagi memastikan Puteri menjadi kekuatan parti.
Selain itu jelas Zahida, Puteri juga harus mempraktikkan 5S iaitu solidariti, sinergi, survival, sukarela dan strategi untuk terus bergerak mendekati pengundi muda.
“Saya juga tidak mahu Puteri takut untuk membuat sebarang posting di media sosial. Semasa Perhimpunan Agung UMNO yang baru lalu, ramai yang mengatakan betapa pentingnya kuasa media sosial jadi mengapa kita tidak menggunakannya.
“Puteri harus pandai untuk memperhebatkan kuasa media sosial dan perkara ini akan kita perhalusi nanti,” jelas beliau. – MediaUMNO