Sidang Kedua Parlimen Ke-14 Berlangsung 30 Hari
KUALA LUMPUR, 12 Okt – Persidangan Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 30 hari bermula Isnin depan (15 Okt) hingga 11 Dis ini.
Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah dalam kenyataan hari ini berkata notis pemberitahuan mesyuarat kepada anggota Dewan Rakyat telah dikeluarkan pada 14 Sept lepas.
“Urusan pertama mesyuarat bagi minggu pertama dimulai dengan upacara mengangkat sumpah anggota Parlimen bagi mengisi kerusi Parlimen Port Dickson pada 15 Okt pukul 10 pagi dan akan diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-undang dan urusan kerajaan yang lain,” katanya.
Manakala pada 18 Okt akan diadakan Perbentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (KSP RMKe-11) yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada pukul 4 petang.
Menurut beliau, perbahasan KSP RMKe-11 akan berlangsung pada minggu kedua dan diikuti dengan menteri-menteri menjawab pada minggu ketiga.
Pembentangan Belanjawan 2019 pula akan diadakan pada 2 Nov pukul 4 petang, diikuti dengan perbahasan belanjawan itu di peringkat dasar pada minggu keempat dan kelima, seterusnya dibawa ke peringkat jawatankuasa pada minggu ketujuh dan kelapan.
Dua hari terakhir akan diperuntukkan bagi Rang Undang-undang dan urusan kerajaan yang lain pada minggu kesembilan.
Sementara itu Persidangan Dewan Negara akan berlangsung selama 12 hari dari 3-11 Dis ini yang akan turut membentang dan membahaskan KSP RMKe-11 serta Belanjawan 2019.