Kutipan Zakat Bantu Golongan Asnaf Keluar Kemiskinan – Tengku Abdullah

KUANTAN, 12 Okt – Kutipan zakat di negeri ini bukan hanya melambangkan keadilan pengagihan kekayaan yang ditetapkan Allah, tetapi juga membantu asnaf keluar dari kepompong kemiskinan.

Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah program pembangunan usahawan asnaf fakir dan miskin bukan sekadar menghulur bantuan, tetapi juga melibatkan pemberian bantuan modal, latihan serta peralatan.

“Ia (menjadi usahawan) menjadi jalan keluar untuk mereka tidak lagi tergolong dalam kategori asnaf, fakir dan miskin. Buktinya, sehingga kini seramai 245 orang asnaf sedang mengikuti latihan pelbagai bidang perniagaan.

“Saya juga sangat berbesar hati dengan kesudian Dewan Perniagaan Melayu Pahang menjadi mentor kepada usahawan asnaf dan amat berharap kepada golongan asnaf merebut peluang yang ada demi masa hadapan lebih cemerlang,” titah baginda.

Titah baginda dibacakan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah semasa mencemar duli merasmikan Karnival Usahawan Asnaf Pahang 2018 di Dataran Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini, hari ini.

Tengku Abdullah menambah Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah menyediakan sebanyak 44 jenis bantuan zakat yang disalurkan melalui lima program bagi membantu golongan asnaf.

“Melalui program itu, sejumlah RM134 juta ringgit diagihkan pada tahun 2016 dan RM149 juta pada tahun 2017.

“Saya berharap agar seluruh umat Islam terutamanya di negeri ini menunaikan zakat melalui Pusat Kutipan Zakat (PKZ) yang disediakan,” titah baginda.

Tengku Abdullah menambah zakat yang ditunaikan bukan hanya memberi manfaat kepada asnaf yang berhak, tetapi juga boleh menjana ekonomi umat Islam.