Kenyataan Lebuh Raya Tanpa Tol Di Malaysia Mustahil Mungkir Janji Terbesar Kerajaan PH

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) di Bali bahawa lebuh raya tanpa tol di Malaysia sesuatu yang mustahil, adalah antara mungkir janji terbesar dalam manifesto Pakatan Harapan (PH), kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Tegasnya, biarpun Tun M mendakwa cuba menghalang perkara itu dimasukkan sebagai manifesto PH, ia tidak boleh diterima.
“Ini kerana rakyat tidak pernah pun terdengar atau terbaca mengenai tentangan beliau itu sebelum PRU14. Bagi kita itu semua adalah alasan semata-mata/

“Malah beliau sendirilah yang menjadi ‘Bapa Jalan Raya Bertol’ Malaysia di zamannya sebagai Perdana Menteri keempat. Apatah lagi kebanyakan pemegang konsesi tol adalah mereka yang rapat dengannya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Jelasnya, lebih pelik apabila beliau membuat kenyataan itu di luar negara, seolah-olah mahu mengelakkan soalan bertalu-talu wartawan di negara sendiri.

“Hakikatnya kini jelaslah bahawa ‘sokongannya’ terhadap manifesto PH dahulu semata-mata bertujuan menggula-gulakan pengundi bagi menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dan memilih semula beliau ke tampuk kuasa.

“Lihatlah sebagaimana janji mengenai PTPTN dan hasrat memansuhkan semua hutang peneroka Felda yang tidak akan tertunai, Kerajaan PH ternyata meluruhkan harapan banyak pihak yang mengundi mereka dalam PRU14 lalu.

“Kita harap akuilah hakikat bahawa Kerajaan PH gagal menunaikan janji. Janganlah terus menggunakan helah hutang negara, ekonomi serta menyalahkan aliran atau trend dunia terhadap penarikan modal pelabur asing dan kemerosotan nilai ringgit, apatah lagi menyalahkan kerajaan terdahulu kerana kelemahan Kerajaan PH.”
Ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong, hakikatnya Kerajaan PH dan Perdana Menteri sebenarnya sama sekali gagal mengurus Malaysia di zaman siber ini.

“Umum pula kini melihat penangkapan dan pendakwaan pemimpin Umno di dalam kerajaan BN terdahulu adalah salah satu strateginya untuk menutupi kelemahan pentadbiran serta kepincangan Kabinetnya kepada rakyat.

“Nampaknya, rakyat makin tertipu dengan rejim ala-diktator ini, apatah lagi sistem kehakiman, kewangan dan badan anti-rasuah sudah di dalam genggaman mereka.”

Katanya, bagaimanapun, ini kuasa dan hak mereka, namun adakah ini sebenarnya keinginan rakyat setelah meletakkan mereka di tampuk kuasa?

“Saya harap rakyat dapat menilai kualiti kerajaan hari ini. Manifesto pada mereka hanyalah umpan bagi mendapatkan kuasa.

“Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo oleh Kerajaan BN adalah bukti bahawa kerajaan dahulu lebih mampu menyediakan lebuhraya tanpa tol pada rakyat berbanding Kerajaan PH yang memerintah Malaysia sekarang,” bidas beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.