Kemenangan Ahli Parlimen Jasin, Sah, Kekal

KUALA LUMPUR 12 Okt. – Kemenangan Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah dari Barisan Nasional (BN) adalah sah dan kekal.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali selepas mendapati calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi kerusi Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan tidak mematuhi kehendak petisyen pilihan raya.

Menurut Che Mohd. Ruzima, suatu petisyen pilihan raya untuk mencabar keputusan pilihan raya hendaklah difailkan di mana sesuatu pilihan raya itu diadakan.

Dengan keputusan itu, Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengisytiharkan bahawa Ahmad telah dipilih sebagai Ahli Parlimen Jasin.

Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan itu memohon satu perisytiharan atau perintah bahawa pihaknya yang memenangi PRU-14 dan menuntut perintah keputusan kerusi Parlimen Jasin tidak sah dan terbatal selain meminta supaya pilihan raya Parlimen itu diadakan semula.

Antara alasan Khairuddin dalam bantahan awalnya terhadap responden pertama bertarikh 20 Julai lalu adalah Ahmad telah gagal mematuhi kehendak Kaedah 9 Kaedah-kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954 bagi pengesahan pelantikan peguam dan pengesahan peguam melalui peguam tetapi difailkan atas nama firma guaman. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.