Hikayat Hapus Tol, Pekikkah Lagi Puchong Dan Simpang Renggam?

KUALA LUMPUR, 12 Okt – “Bukan main memekik Puchong dan Simpang Renggam sampai buat video dan poster berjuta-juta orang ‘like’ dan tonton. Hari ini, apa cerita?”, soal bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sinis Najib dalam catatan di ‘facebook’nya itu secara jelas merujuk kepada tindakan calon Pakatan Harapan (PH) ketika pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang lalu bagi kawasan parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan Simpang Renggam, Maszlee Malik yang begitu lantang mencanang PH akan menghapuskan tol jika memenangi PRU.

Najib membuat reaksi tersebut mengenai kenyataan Perdana Menteri Ketujuh Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan adalah mustahil bagi kerajaan PH untuk membina lebuhraya tanpa tol, kecuali dengan menaikkan harga minyak.

Seterusnya, Najib turut membidas PH yang dahulunya ketika menjadi pembangkang berjanji kepada rakyat mahu menghapuskan tol tetapi sebaliknya kini berlainan nada apabila sudah memegang tampuk pemerintahan Putrajaya.

“Dulu sebelum jadi kerajaan, janji hapus tol. Siap kata kerajaan cuma perlu berapa ringgit je untuk buat sedemikian.

“Putar belit setiap hari padahal dia yang beri konsesi berat sebelah. Tapi Kerajaan BN (Barisan Nasional) dan saya Najib Razak yang dipersalahkan, walhal hampir setiap tahun saya umum hapus tol di beberapa kawasan.

“Hari ini dah jadi kerajaan, baru cakap mustahil lebuhraya tanpa tol,” selar ahli Parlimen Pekan itu lagi.

Jelas Najib lagi, itulah yang berlaku apabila berjanji bukan ikhlas untuk rakyat tapi semata-mata tamakkan kuasa.

Untuk rekod, ketika Najib menjadi Perdana Menteri Keenam sejak tahun 2009 hingga ke April 2018, kerajaan BN di bawah pentadbirannya telah menghapuskan tol yang dibina ketika zaman Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri Keempat, antaranya seperti plaza tol di Teluk Kapas Klang Utara; Metramac; Batu 9, Lebuh Raya Cheras-Kajang dan Batu 11 Lebuh Raya Cheras-Kajang

Begitu juga tol di Jambatan Lanang, Sibu; Jambatan ASEAN, Baram; Jambatan Salahuddin, Kuching; Batu Tiga; Sungai Rasau; Bukit Kayu Hitam dan Lebuhraya Penyebaran Timur Johor Bahru (EDL).

Selain menghapuskan tol, terdapat juga beberapa lebuhraya yang telah dan sedang dibina oleh Najib tanpa tol contohnya seperti Rawang Bypass, Lebuh Raya Central Spine Route Kota Bharu, Kelantan ke Bentong, Pahang dan Lebuhraya Pan Borneo yang merentasi negeri Sabah dan Sarawak.

Malah sejak 2005 tiada lagi kenaikan tol dilaksanakan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) – Media UMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.