Beberapa Perkara Dalam Kempen Anwar Tidak Sepatutnya Berlaku – ERC
PORT DICKSON, 12 Okt – Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) berpendapat beberapa perkara dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson melibatkan calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak seharusnya berlaku.
Pengerusi jawatankuasa itu,Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata antara perkara itu adalah majlis jamuan percuma, menteri berkempen dengan membuat janji serta kehadiran Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang memperkenalkan diri sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“Ada dua menteri yang datang berkempen di sini membuat janji dan perkara itu sepatutnya tidak boleh, mereka sepatutnya boleh membuat pengumuman atau janji di luar waktu berkempen.
“Kemudian ada majlis jamuan percuma oleh badan bukan kerajaan atau badan korporat yang menganjurkan majlis bagi pihak calon, itu tidak boleh dan menjadi kesalahan di bawah peraturan pilihan raya,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Abdul Rashid, yang juga bekas ketua Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), turut menyifatkan tindakan presiden PKR Dr Wan Azizah berkempen untuk Anwar yang juga suaminya dengan memperkenalkan diri sebagai Timbalan Perdana Menteri pada majlis yang dihadirinya adalah sesuatu yang tidak tepat dan tidak sesuai.
Selain perkara-perkara ini, secara keseluruhan beliau melihat kempen PRK itu yang akan berakhir tengah malam ini berjalan lancar dengan hanya isu-isu kecil berlaku tanpa disengajakan atau mungkin disebabkan terbawa-bawa dengan budaya kempen kerajaan sebelum ini.
Beliau menjelaskan, ERC telah menghantar 11 pemerhati untuk memantau perjalanan PRK Port Dickson dan mendapati SPR menghadapi kekangan untuk melaksanakan tugasnya dengan baik.
“SPR tidak mempunyai kuasa secara persendirian untuk menyiasat pelanggaran beberapa peraturan pilihan raya yang didakwa seperti salah guna kemudahan kerajaan, pemberian hadiah kepada pengundi dan seumpamanya,” kata beliau.
Dalam pada itu, Abdul Rashid turut bersetuju agar satu undang-undang baharu digubal bagi mengelak tindakan letak jawatan oleh anggota Parlimen tanpa sebarang alasan munasabah.
“Tapi undang-undang ini tidak boleh diletakkan di bawah SPR kerana SPR hanya menjalankan tanggungjawab menguruskan pilihan raya apabila kerusi itu kosong, undang-undang itu mungkin boleh diletakkan di bawah Parlimen,” katanya.
Abdul Rashid, yang juga Naib Presiden Parti Bersatu Malaysia (PPBM), pernah menjadi setiausaha SPR dari 1979 hingga 1995, timbalan pengerusi SPR sejak 1997 hingga 2000 dan pengerusi SPR dari 2000 hingga 2008.
Kerajaan mengumumkan penubuhan ERC pada 16 Ogos lepas bagi mengkaji semula sistem dan undang-undang pilihan raya di negara ini.
PRK Parlimen Port Dickson, yang menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara Anwar dengan calon PAS Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar serta lima calon Bebas termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad serta bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, pada 12 Sept lepas, bagi membolehkan Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal, 68, memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon BN Datuk V.S.Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai hari mengundi.
Parlimen Port Dickson memiliki 75,770 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (dua peratus). – Bernama