Kaji Semula Kedudukan Norhizam Sebagai Exco

MELAKA, 11 Okt – Kerajaan Negeri digesa agar mengkaji semula kedudukan Norhizam Hassan Baktee sebagai Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Melaka, kata Pesuruhjaya PAS Negeri, Kamaruddin Sidek.

Beliau berkata walau apa sahaja sebab diberikan, insiden kekasaran Norhizam terhadap rakyat baru-baru ini tidak boleh diterima terhadap seorang individu bergelar ‘Yang Berhormat’ yang sepatutnya membela kebajikan rakyat.

Katanya Norhizam pernah dikaitkan dengan insiden pencerobohan stor baja di Sungai Rambai sebelum ini, namun amat mendukacitakan apabila insiden tidak diingini yang menjejaskan reputasi Kerajaan Negeri berlaku sekali lagi.

“Sebelum ini, saya pernah membuat kenyataan agar exco terbabit digugurkan atas prinsip reputasi dan moral Kerajaan Negeri, tetapi Ketua Menteri (Adly Zahari) terus mempertahankan beliau. Akhirnya rakyat Melaka melihat slogan ‘Wibawa’ Kerajaan Negeri tidak memberikan apa-apa makna bahkan sekadar retorik.

“Saya dapati sekiranya tiada apa-apa tindakan, nescaya perkara seumpama akan berulang lagi,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini video Norhizam, bersikap kasar terhadap penduduk kampung dalam isu penutupan Jalan Pulau Nibong-Taman Akasia di Batu Berendam di sini menjadi tular dalam laman media sosial, dan semalam Norhizam serta Adly bagi pihak Kerajaan Negeri memohon maaf atas insiden itu.

Sementara itu, Adly ketika ditemui pemberita di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini berkata tiada keperluan untuk Norhizam meletak jawatan sebagai exco kerana telah berkhidmat dengan baik sebelum ini, namun mengakui Norhizam perlu memperbaiki dirinya.

“Dia exco yang hampir setiap hari bertemu rakyat untuk selesaikan masalah, cuma pendekatan dan kaedah digunakan (perlu diperbaiki), ini dari masa ke semasa kita akan perbaiki.

“Kita di peringkat Kerajaan Negeri saya harap supaya kerajaan ini diberi peluang untuk penambah baikkan dibuat dari masa ke semasa, malah bukan sekadar kita tetapi kepada sistem keseluruhan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata sudah menjadi hasrat rakyat mahu melihat penambah baikkan dalam sistem pentadbiran di negeri dan negara ini.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.