Ekonomi Malaysia Merundum, Kerajaan PH Kena Berhenti Cipta Alasan Dan Mula Bekerja
KUALA LUMPUR, 10 Okt – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Shahrul Nasrun Kamarudin berkata, kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (PH) perlu berhenti mencari salah kerajaan terdahulu pimpinan Barisan Nasional (BN) dan harus segera mula bekerja.
Jelas beliau, ini penting demi membuktikan rakyat yang telah memilih PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu tidak ditipu selain menunjukkan kerajaan PH adalah lebih baik daripada BN.
“Sepanjang lima bulan atau 200 hari negara di bawah kerajaan baru, tidak banyak permasalahan rakyat yang berjaya diatasi oleh Kerajaan PH. Pemimpin PH juga tidak lagi dilihat menjadi juara dalam isu-isu rakyat sebaliknya lebih banyak bermain dengan sentimen kononnya Kerajaan hari ini sedang memperbaiki segala kerosakan yang berlaku sepanjang 60 tahun negara di bawah BN.
“Kini harapan tinggi rakyat terhadap PH tidak menjadi kenyataan malah Kerajaan PH mula dianggap teruk berbanding BN disebabkan keputusan dan tindakan yang telah diumumkan setakat ini tiada satu pun yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” jelas beliau dalam satu kenyataan media.
Tambah Shahrul, apa yang dilakukan oleh Kerajaan PH adalah cuba memadamkan segala apa yang dibuat oleh Kerajaan BN walaupun ia memberi manfaat kepada rakyat.
Ini katanya jelas dapat dilihat apabila lebih 400 projek rakyat dibatalkan hanya kerana ia adalah dasar daripada kerajaan terdahulu sedangkan projek-projek ini memberi manfaat kepada golongan bawah B40.
“Selain itu langkah dan tindakan populis Kerajaan PH dalam memansuhkan GST dan kembali kepada sistem SST juga mula dilihat sebagai kegagalan terbesar Kerajaan PH.
“Berdasarkan laporan KPDNHEP dari pemantauan ke atas 384 item, sebanyak 304 item tidak mengalami perubahan harga selepas cukai GST dimansuhkan. Sebaliknya 51 item bagi sektor perkhidmatan servis kenderaan dan perhotelan telah mengalami kenaikan di antara lima sehingga sepuluh peratus”, ujarnya.
Ini bermakna tegas beliau, tohmahan PH kononnya rakyat terbeban kerana GST dan GST punca harga barang melambung tidak berasas malah ia menunjukkan rakyat terutama golongan B40 kini masih dihimpit dengan isu kos sara hidup walaupun GST dimansuhkan.
“Maka sebenarnya, langkah memansuhkan GST tidak memberi apa-apa manfaat kepada rakyat dan ekonomi negara,” katanya.
Selain itu terang Shahrul, nilai ringgit juga semakin susut di mana kini ringgit pada kadar RM4.16 untuk setiap dollar dan jumlah rizab Bank Negara merosot sebanyak RM26.5 bilion dalam tempoh lima bulan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Paling mengejutkan kata beliau lagi laporan Bank Dunia kini telah menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun 2018 adalah 4.9% daripada 5.4% malah dijangka akan terus menurun menjelang tahun 2020.
“Kini rakyat sudah muak dengan kontroversi dan politik sepanjang masa sedangkan permasalahan dan isu yang menghimpit seperti kos sara hidup, barang keperluan mahal dan peluang pekerjaan yang terhad diabaikan oleh Kerajaan PH tanpa ada satu usaha bagi mencari jalan penyelesaiannya.
“Jadi cukup-cukuplah memberi alasan kerajaan PH tidak boleh buat kerja disebabkan negara teruk rosak keranan pimpinan terdahulu. Mulalah menjadi kerajaan yang baik dan bekerja dengan betul.
“Rakyat tidak mahu dengar alasan demi alasan… apa yang rakyat mahu adalah kepimpinan yang baik dan mampu menurunkan kos sara hidup,” tegas Shahrul. – MediaUMNO