Tindakan Kerajaan PH Tutup KSIP Tanpa Memaklumkan Arab Saudi Biadap

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (PH) biadap apabila menutup Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSICP) tanpa memaklumkan perkara tersebut kepada pihak Arab Saudi terlebih dahulu.

Jelas beliau yang merupakan pengerusi bersama pusat antiterorisme itu, Arab Saudi sendiri mendapat berita penutupan pusat itu hanya melalui laporan media.

“Proses penutupan pusat ini tidak dibuat secara diplomasi, dan tidak diberitahu pun secara rasmi kepada kerajaan Arab Saudi. Mereka hanya mengetahui melalui laporan akhbar dan tindakan kerajaan Malaysia menutup dengan tergesa-gesa tanpa berbincang dengan kerajaan Arab Saudi telah menjejaskan hubungan Malaysia dengan negara itu ke tahap yang disaksikan pada masa kini.

“Tindakan ini juga mengecewakan pihak Saudi. Kalau dulu Raja Salman boleh datang ke negara kita, kenapa tidak kita menghantar delegasi pergi beritahu secara beradab kenapa kita tidak mahu Pusat Keamanan Arab Saudi ini,” katanya seperti yang dipetik dalam portal Mynewshub.

Tambah Asyraf, apa yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia pimpinan PH ini adalah satu perkara yang tidak beradab dan tidak berakhlak.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu pada Ogos lalu mengumumkan penutupan pusat membanteras fahaman ektremis itu, dalam keputusan keduanya melibatkan hubungan dengan Riyadh selepas keputusan menarik tentera Malaysia yang ditempatkan di Arab Saudi.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.