Pendidikan Kenegaraan Perlu Diperkasa -Tengku Abdullah


LIPIS, 9 Okt – Pendidikan kenegaraan di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) negara ini perlu diperkasa dan sentiasa dipupuk bagi membentuk semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat terutama generasi muda.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, dengan cara itu rakyat akan terus mendokong dan menyedari kepentingan institusi diraja untuk mempertahankan warisan serta institusi negara daripada terhakis.

“Raja-raja Melayu adalah kesinambungan sejarah dan warisan negara. Kewujudan institusi diraja adalah asas jati diri bangsa dan menjadi identiti negara.

“Namun hari ini, anak muda membesar dengan perhiasan kecanggihan teknologi dan kederasan arus pemodenan… kita lalai dan leka dengan pelbagai idea serta fahaman sehingga memesongkan agama dan identiti negara,” titah baginda ketika merasmikan program Wacana Diraja Raja, Perlembagaan dan Patriotisme di Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Malaysia, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman.

Titah baginda lagi, raja, perlembagaan dan patriotisme adalah asas yang membentuk negara dan kesatuan elemen-elemen ini menjadi tunjang kepada kekuatan negara.

Berikutan itu semua pihak perlu memahami sejarah dan apa yang tersurat serta tersirat dalam perlembagaan, titah baginda.

Sementara itu Tengku Abdullah bertitah wacana yang diadakan pada hari ini turut menjadi platform terbaik bagi semua kaum dan peringkat umur untuk berkongsi fikiran berkaitan hal ini.

“Saya harap wacana ini bukan menjadi platform politik tetapi satu platform yang boleh berkongsi fikiran baik dalam kalangan orang muda mahupun orang tua… orang yang berkuasa hingga kepada orang yang tidak berkuasa, apa yang ada di dalam hati perlu diluahkan,” titah baginda.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.