Rakyat Perlis Dinasihat Tidak Terpengaruh Dengan Perbezaan Ideologi Dan Agama – Azlan Man

KANGAR, 8 Okt – Rakyat Perlis dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan elemen-elemen gerakan perbezaan ideologi dan agama yang akan membawa kepada konflik seperti pepecahan yang berlaku di sesetengah negara luar.

Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata sekiranya ia diamalkan di negara ini ia akan memberikan kesan besar kepada negara sekali gus menggugat keselamatan negara.

“Perlis bukan tempat melahirkan ekstremis agama, namun kita perlu berwaspada dan berhati-hati dalam perkara ini dan tidak terpengaruh dengan mereka,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan negeri di Dewan Warisan, di sini, hari ini.

Pada Sabtu lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Fuzi Harun mendedahkan bahawa lapan lelaki termasuk tujuh warga asing ditahan dalam operasi Bahagian Anti Keganasan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), di Perlis, Kuala Lumpur dan Johor, pada 24 Sept lepas.

Lapan suspek itu terdiri daripada enam pelajar warga asing, seorang bekas pelajar warga tempatan dan seorang bekas tenaga pengajar warga asing di sebuah pusat pengajian Islam di Perlis.

“Cuba kita lihat contoh beberapa negara di Timur Tengah khususnya mereka berpecah adalah disebabkan perbezaan fahaman dan agama yang membawa kepada perbalahan di negara tersebut,” katanya.

“Perlis bukan tempat untuk kita mahu melahirkan ekstremis agama dan tidak pernah ada sejarah yang berlaku di negeri ini,” katanya lagi.

Azlan berkata pihaknya akan sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam menyalurkan pelbagai maklumat kepada pihak berkuasa mengenai soal keselamatan di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, Komander Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Perlis DSP Syed Basri Syed Ali berkata pihaknya telah berjaya mengumpul hasil rampasan sebanyak RM15.1 juta setakat September tahun ini.

“Berbanding tahun lepas, kita berjaya kumpul RM11.7 juta untuk tempoh setahun dan ini menunjukkan peningkatan yang ketara dan kita sentiasa meningkatkan kawalan sempadan negara kita bagi membendung kegiatan penyeludupan,” katanya.

Beliau berkata nilai rampasan terbesar yang pernah dicatatkan agensi itu ialah bernilai RM7.2 juta yang melibatkan rampasan arak dan rokok.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.