UMNO Shah Alam Komited Laksanakan Tujuh Teras, 21 Langkah Kebangkitan UMNO

KUALA LUMPUR, 5 Okt – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata pihaknya akan komited untuk meneruskan perjuangan berteraskan apa yang telah digariskan oleh kepimpinan parti seperti mana yang terkandung dalam ucapan dasar presiden yang baru lalu.

Beliau seterusnya yakin UMNO Shah Alam mahu pun seluruh UMNO bahagian yang lain bertekad untuk meneruskan perjuangan suci orang Melayu dan rakyat keseluruhannya walaupun UMNO hari ini digelar dengan pelbagai dakyah oleh parti lawan yang cuba melemahkan semangat perjuangan ahli parti.

Justeru katanya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2018  yang melabuhkan tirainya Ahad lalu bukan sahaja membuktikan parti keramat orang Melayu ini tidak akan berkubur, malahan warna merah putih yang membanjiri Dewan PWTC membuktikan sebaliknya.

“Sebagai kepimpinan akar umbi, UMNO Bahagian Shah Alam komited untuk terus meneruskan perjuangan berteraskan apa yang telah digariskan oleh kepimpinan parti.

“Ucapan Presiden, Datuk  Seri Ahmad Zahid Hamidi dan ucapan Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan akan digarap sebaik mungkin dalam usaha memastikan segala langkah yang diterapkan pada perhimpunan itu dapat dilaksanakan,“ katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini

Perhimpunan Agung UMNO 2018 melabuhkan tirainya Ahad lalu dengan Presiden parti menggariskan beberapa perkara dalam usaha memastikan kesinambungan UMNO melangkah ke depan.

Malah perhimpunan berkenaan adalah perhimpunan pertama kali selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) hilang penguasaan sebagai kerajaan dan hari ini bertukar poisisi sebagai pembangkang.

Ujar Azhari lagi ahli parti perlu sama-sama sedar bahawa pihak lawan tidak akan duduk diam dan tidak akan berada di dalam keadaan selesa melihat kepada kebangkitan UMNO di perhimpunan kali ini.

“Puak-puak ini akan bertepuk tangan melihat UMNO tewas, tetapi mereka lupa rakyat Malaysia yang semakin perit dengan tekanan ekonomi akibat kejatuhan nilai ringgit sedang merindui UMNO.

“Walaupun Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini hanya dua hari namun kita mempunyai empat tahun lebih untuk menjadi pembangkang yang digeruni Kerajaan. Ingat bahawa UMNO dan komponen yang memiliki kerusi kedua terbesar di Dewan Rakyat. Suara kita masih berbisa untuk membela rakyat,” tambahnya.-MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.