Ucapan Presiden Perlu Disampaikan Ke Akar Umbi, Proses Perubahan Dalam UMNO Sedang Berlaku
KUALA LUMPUR, 1 Okt – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan bahawa intipati Ucapan Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu disampaikan kepada ahli-ahli di akar umbi agar mereka memahami dan menghayati proses perubahan yang sedang berlaku dalam parti.
Katanya UMNO mengiktiraf suara akar umbi dengan melaksanakan amalan-amalan yang lebih demokratik dan terbuka.
“Langkah menentukan calon pilihan raya oleh akar umbi juga diyakini dapat mengukuhkan kesatuan suara dan hati pemimpin serta ahli di peringkat Bahagian dan Cawangan.
“Mereka yang lebih mengenali potensi individu yang layak dan akan diterima pengundi,” katanya hari ini.
Demikian juga ujarnya dengan langkah perlantikan pemimpin yang akan menerajui Badan Perhubungan Negeri masing-masing.
“Kesepakatan Ketua-ketua Bahagian sudah tentu diperoleh melalui perundingan, persefahaman dan tolak ansur dalam memilih peneraju organisasi.
“Semoga segala usaha perubahan dan pembaharuan ini dapat dilaksanakan dalam semangat ‘UMNO Sebuah Perjuangan’.”
Semalam Perhimpunan Agung UMNO 2018 telah melabuhkan tirai selepas berlangsung dengan jayanya bermula dengan persidangan sayap pada 28 Sept. – MediaUMNO