Usaha Haramkan UMNO Tindakan Tidak Demokratik

KUALA LUMPUR, 30 Sept – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebarang usaha untuk mengharamkan atau membubarkan parti tersebut adalah tindakan yang tidak demokratik.

Hal ini kerana, katanya Malaysia merupakan sebuah negara yang demokratik, justeru segala perbezaan ideologi dan pegangan politik harus dihormati semua pihak

“Kami ketahui bahawa akaun kami akan dibekukan, mungkin akan dirampas. Dan beberapa usaha lagi akan dilakukan terhadap kami kepimpinan atasan dan kepimpinan lain,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan penangguhan pada Perhimpunan Agung UMNO 2018, di sini hari ini.

Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata beliau menyedari pelbagai khabar angin disebarkan kononnya terdapat beberapa individu dalam UMNO akan disiasat dan dikenakan tuduhan.

Katanya kepimpinan UMNO reda dan terbuka sekiranya sebarang tindakan diambil atas tujuan melaksanakan ‘rule of law’ dan bukannya berdasarkan ‘rule by law’.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata pihaknya telah menyerahkan kepada pasukan peguam untuk ‘mengheret’ dan melakukan tuntutan mengikut aspek perundangan terhadap bekas wakil rakyat daripada UMNO itu yang melompat parti dan menjadi wakil rakyat bebas.

Ketika ditanya siapa yang menerajui pasukan peguam tersebut, beliau sekadar berkata “Kita tunggu sehingga perkara itu dibawa ke mahkamah,” katanya.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.