Ucapan Dasar Presiden Jawab Persoalan Dan Ajak Ahli Bersama Terjemahkannya

 

KUALA LUMPUR, 30 Sept – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk  Dr Shamsul Anuar Nasarah menyifatkan ucapan sulung Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang disampaikan malam tadi mampu menterjemahkan serta menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh ahli parti yang mahu melihat bagaimana hala tuju dan pelbagai perkara lain.

Menurut beliau secara jelas Presiden parti menyatakan bahawa yang menjadi tumpuan adalah untuk memenangi pilihan raya dan kembali sebagai sebuah kerajaan.

“Secara jelas juga dilontarkan tujuh teras bagaimana mahu mencapainya dan menjayakan hala tuju berkenaan selain menggariskan 21 langkah-langkah secara terperinci termasuk menjawab persoalan daripada sudut parti itu sendiri.

“Persoalan mengenai apakah UMNO mahu terus memperjuangkan kita orang Melayu atau membuka kepada kaum-kaum lain juga dijawab dengan tegas apabila beliau mengatakan bahawa UMNO akan terus menjadi parti yang memperjuangkan orang Melayu dan Bumiputera serta membela kaum-kaum lain.

“Presiden juga ada sebutkan UMNO harus ada idealisme yang mana kita bukan hanya menganggotai parti ini atas matlamat tertentu sahaja untuk  menang pilihan raya dan sebagainya namun idealisme kita adalah berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air.

“Apabila perkara ini diberi penekanan dan ahli parti jelas maka dengan sendirinya akan dapat mewujudkan ahli parti yang setia dengan perjuangan dan sanggup menghadapi apa jua cabaran yang berada di depan kita,” katanya kepada UMNO-Online, selepas ucapan dasar Presiden UMNO, DatuK Seri Dr Ahamd Zahid Hamidi, di sini, malam tadi.

Dr Shamsul turut menegaskan perubahan landskap politik hari ini juga dinyatakan dengan jelas oleh presiden dalam ucapan dasar berkenaan.

“Walaupun dalam ucapan tadi beliau tidak menyebut secara jelas dan nyata parti Pas,  namun beliau sebutkan bahawa hubungan kita adalah sebagai blok pembangkang.

“Kalau ada hubungan selepas ini tentulah ia akan mendapat keputusan daripada pimpinan parti dan sudah tentu dalam keadaan yang berbeda ini perubahan-perubahan besar lain turut perlu dilakukan… umpamanya kita bercakap masa depan BN dan tadi juga disebutkan bagaimana perkara tersebut akan dirundingkan dengan rakan-rakan komponen parti untuk menjenamakan semula parti dari segi imejnya, mungkin  dari sudut namanya dan mungkin juga keanggotaanya,” ujarnya.

Tambahnya apabila Presiden telah meletakkan hala tuju maka menjadi tanggungjawab semua untuk menjayakannya dan tidak boleh meletakkan tanggungjawab  berkenaan  semata-mata kepada pimpinan di atas  sebaliknya mesti diterapkan di semua peringkat parti.

“Ini semua persoalan dibangkitkan selama ini dan dijawab tadi dan diharapkan pembahas pula akan merungkai dan berbincang tetapi tentulah diharapkan berbahas dengan berlapang dada.

“Kita meraikan perbezaan pandangan tetapi perbezaan yang kita raikan itu jangan pula memberi peluang dan bola tanggung kepada pihak lawan. Kebebasan mesti disertakan dengan tanggungjawab,” katanya.

 

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.