Jangan Tanggalkan Slogan Bersatu Bersetia Berkhidmat – Pandikar Amin


KUALA LUMPUR, 30 Sept – Slogan UMNO Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat sebenarnya adalah teras perjuangan UMNO yang selama ini perlu didukung oleh semua pihak, ujar jurucakap dari negeri Sabah, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Menurutnya para pemimpin dan ahli-ahli diwajibkan bersatu dan bersetia dalam memperjuangkan objektif dan matlamat parti selain berkhidmat dengan penuh dedikasi.

“Slogan ini bukan sahaja diperjuangkan untuk objektif dan matlamat perjuangan UMNO, tetapi selama ini ia juga relevan, boleh dan telah diaplikasi dalam memperjuangkan objektif dan matlamat Barisan Nasional.

“Akan tetapi, sejak 9 Mei lalu UMNO Sabah merasakan bahawa slogan Bersatu Bersetia Berkhidmat telah tidak dihayati dan diamalkan seperti dahulu. Sepertimana yang dimaklumi di negeri Sabah, kerajaan negeri telah bertukar tangan dalam masa 24 jam cuma atas sebab tiada kesetiaan dari pemimpin-pemimpin parti UPKO.

“Calon-calon dari parti UPKO yang menang atas lambang Barisan Nasional telah bertindak keluar dan menyertai gabungan parti Warisan, PKR dan Dap untuk menubuhkan kerajaan baru,” kata pencadang Usul Ucapan Dasar Presiden itu di Perhimpunan Agung UMNO di sini, hari ini.

Tambah memburukkan keadaan ujarnya lagi, tindakan mereka itu telah mencetuskan polemik perundangan ketika ini di negeri Sabah.

Justeru katanya, UMNO negeri Sabah kesal dan mengutuk dengan sekeras-kerasnya tindakan derhaka parti UPKO itu.

Hal ini juga terjadi sepertimana yang telah dilakukan oleh beberapa pemimpin UMNO yang telah dicalonkan oleh parti dan memenangi pilihan raya tetapi kini telah tidak setia dan meninggalkan UMNO begitu sahaja.

“Dan tambah dikesali, mereka yang meninggalkan UMNO pula bertindak menyalahkan parti dan mendabik dada berkata UMNO yang terhutang budi kepada mereka.

“Lebih merungsingkan dan amat menyakitkan hati, ia melibatkan sikap pemimpin-pemimpin kanan UMNO yang bersama hanya ketika parti dalam keadaan gemilang tetapi menanggalkan slogan Bersatu sewaktu parti dalam situasi sekarang,” kesalnya.

Jelasnya lagi, pemimpin berkenaan walaupun sedar dan memahami betapa pentingnya semangat berpasukan dan berdisiplin dalam parti serta memahami prinsip tanggungjawab bersama dalam keputusan bersama, namun telah memilih untuk bersikap seperti ‘gunting dalam lipatan’ mempamerkan sikap memperlekehkan kewibawaan saf kepimpinan UMNO.

Menyentuh mengenai status UMNO kini sebagai pembangkang pasca pilihan raya umum ke-14 (PRU), walaupun perit untuk dihadapi tetapi menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu, ia sebenarnya satu hikmah, menjadi landasan terbaik bagi pucuk pimpinan parti untuk mengkaji dan merancang semula objektif perjuangan sama ada yang tersurat mahupun tersirat selari dengan tuntutan politik semasa. – Media UMNO.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.