‘Tok Mat’ Tiup Semangat Dan Beri Gambaran Bagaimana UMNO Kekal Relevan – Pemuda
KUALA LUMPUR, 29 Sept – Ucapan perasmian Perhimpunan Agung sayap UMNO yang dirasmikan oleh Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan dianggap bukan sahaja meniup semangat malah turut menyentuh dan memberi sedikit bayangan bagaimana untuk parti terus kekal relevan.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata secara peribadi beliau melihat ucapan berkenaaan adalah ucapan yang dinanti-nantikan yang mana bukan hanya menyuntik semangat malah memberi bayangan bagaimana UMNO mahu kekal dalam suasana atau senario politik abad ke-21 dan pasca PRU-14.
“Kedua-duanya itu ada dalam ucapan beliau. Jadi saya amat teruja dan terus terang saya mengatakan mengatasi jangkaan kita. Sebab biasanya ucapan-ucapan perasmian ini meniup semangat, semboyan untuk sayap dan sebagainya. Namun kali ianya lebih daripada itu.
“Ia telah menggariskan atau menggambarkan betapa pentingnya kekal sebagai wadah perjuangan orang Melayu, betapa orang Melayu sudah berbeza dengan apa yang lazimnya UMNO sebelum ini dan ini semua memberikan harapan baru. Titik tolak kejayaan perhimpunan kali ini,“ katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan malam tadi merasmikan persidangan sayap parti dengan tema ucapannya ‘UMNO dan Malaysia Yang Berubah‘. Turut hadir kesemua barisan pimpinan utama parti.
Pada masa yang sama Shahril turut menyambut dengan positif harapan parti yang meletakkan kepercayaan kepada sayap UMNO.
“Bukan hanya beliau sebutkan itu malah dua tiga kali beliau nyatakan dan pandang kepada kita jangan jadi ‘pak turut‘…jangan jadi ‘pak angguk‘ dan dalam PAU ini kita lihat dan insya Allah akan kita sahut cabaran berkenaan untuk perjungan parti.
“Malam ini kita dapat sedikit sinar dan esok malam kita akan sama-sama lihat dan tengok apa pula yang digariskan oleh Presiden Parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasar. Itu yang paling penting sekali dan kita sama-sama nantikan,“ katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Mohd Shahar Abdullah pula berpandangan ucapan bersahaja Timbalan Presiden banyak banyak mengingatkan perkara asas yang perlu dilaksanakan oleh parti khususnya ketiga-tiga sayap.
“Saya membayangkan ucapan ini adalah ucapan yang menggesa agar UMNO untuk berada dalam abad ke-21. Kenapa peremajaan parti perlu berada dalam keadaan optimum dan tidak boleh lagi dilihat sebagai agenda kedua atau agenda ketiga sebaliknya peremajaan parti mesti dilihat dalam agenda pertama bagi memenuhi abad ke-21.
“Timbalan Presiden juga mengingatkan parti agar kembali kepada siasah asal perjuangan iaitu kita balik kepada asal di mana parti ini adalah parti yang menaungi orang Melayu sudah pastinya agenda parti memberi tumpuan kepada kemajuan dan kemakmuran orang Melayu dan bukan lagi meletakkan agenda lain dalam merencanakan agenda parti,“ ujarnya.
Katanya lagi turut diperkatakan adalah suara akar umbi yang perlu diberikan perhatian dan bukan lagi kepimpinan atas menunjuk itu serta ini dan pendekatan tersebut boleh membantu untuk bangkit kembali sebagai teras kebangkitan UMNO.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Merbok, Muhamad Nur Aizat Noor Azam berkata apa yang digarapkan malam ini sememangnya sesuatu yang akar umbi nantikan dan akar umbi mahu dengar.
“Setelah UMNO mengalami kekalahan pada PRU lalu, pada malam ini sikap dan sifat yang ditunjukkan oleh Timbalan Presiden parti berterus terang apa yang perlu berubah dan itu perkara yang kita mahukan dan sebagai pemimpin Pemuda di akar umbi kita menyambut baik apa yang disampaikan itu kerana pada kali ini kita tidak lagi boleh bermain dan terleka.
“Kita perlu garapkan satu hala tuju untuk pastikan UMNO terus kembali relevan sebagai wadah perjuangan yang boleh dipercayai dan boleh dijadikan sebagai parti yang boleh mendokong harapan rakyat secara keseluruhannya.
“Beliau turut menekankan keperluan UMNO pada kali ini untuk perkukuhkan parti dan perkuatkan jentera dan siapakan hala tuju dan pastikan ahli faham apa yang perlu kita lakukan untuk kembalikan sokongan dan kepercayaan rakyat kepada UMNO,“ katanya.
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=Fr-laot4V6w]