Pemutihan Parti Perlu Dilakukan Segera Agar Tiada Lagi Duri Dalam Daging… Api Dalam Sekam – Perwakilan Puteri

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Wakil pembahas negeri Perak, Nordiana Suhaileen Mohd Azmi mencadangkan agar pemutihan ahli UMNO dilakukan dengan kadar segera agar tiada lagi ‘duri dalam daging’, ‘api dalam sekam’ seperti yang telah berlaku sejak kebelakangan ini.

Jelas beliau, UMNO tidak boleh lagi mengharapkan rekod tiga juta ahli yang ada sekarang ini kerana ianya sudah pasti berubah dengan senario lompat parti sejak Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

“Justeru Puteri Perak mencadangkan setiap ahli UMNO yang masih setia perlu mengisi semula borang keahlian UMNO melalui sama ada sistem online atau manual. Dengan ini kita dapat mengetahui siapa yang masih benar-benar bersama kita kerana bukanlah lagi kuantiti menjadi keutamaan tetapi kualiti ahli UMNO itu sendiri.

“Selain itu, UMNO juga perlu mempermudahkan cara mendaftar dan menyemak keahlian selain membolehkan ia dibuat dan dikendalikan di peringkat bahagian serta dipantau diperingkat Pusat.

“Puteri Perak juga mencadangkan agar pendekatan mendekati anak muda perlu diubah selain mengadakan program memperkasa jati diri UMNO di kalangan anak muda. Kita perlu dekati anak muda yang tersalah langkah #salahundi dan tarik mereka semula untuk bersama kita… bukannya dengan memaki atau ‘troll’ mereka.

“Kita beri peluang dan peranan penting kepada anak muda dalam parti supaya mereka merasakan diri mereka berkepentingan dan akan memberikan sumbangan dengan sepenuh hati,” ujar beliau ketika berucap menyokong usul ucapan dasar Ketua Puteri UMNO pada persidangan pergerakan itu, di sini, hari ini.

Selain itu beliau turut mencadangkan agar setiap ahli UMNO khususnya Puteri menjadikan kekalahan lalu sebagai iktibar untuk semua pihak bekerja lebih keras untuk memenangi semula hati pengundi-pengundi wanita muda ditambah dengan pelbagai isu berkaitan kos sara hidup yang semakin membebankan.

“Untuk memenangi PRU-15 dan memerintah semula kita perlu bekerja dari sekarang. Bukan lagi masa untuk meratapi kekalahan sebaliknya perlu bertindak dengan segera.

“Jadi kita perlu mula mengenal pasti Wanita Muda yang berusia 35 tahun ke bawah yang keluar mengundi pada PRU-14 yang lalu, dengan mengenal pasti sikap mereka dan mengadakan ‘bonding’ dan ‘engagement’ dengan mereka selain mengadakan program-program yang lebih berfokus kepada kumpulan sasar,” ujarnya lagi.

Bagi wakil pembahas negeri Terengganu Sharidah Rani pula, kekalahan BN pada PRU yang lalu bukan kerana pembangkang ketika itu kuat tetapi adalah kerana dalam UMNO telah terlerainya perpaduan dan wujudnya pengkhianatan.

“Kita perlu tangani segera sikap segelintir ahli parti yang masih mengamalkan fitnah adu domba termasuk mengamalkan budaya baling batu sembunyi tangan demi memastikan UMNO dan BN terus kuat untuk memasuki zon perang PRU-15.

“Besar harapan Puteri UMNO Terengganu agar kekuatan yang dibina di cawangan-cawangan akan kita kumpulkan menjadi satu bala tentera yang kukuh dan berwibawa dengan matlamat mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO dan BN menjelang pilihan raya akan datang.

“Kita juga perlu ambil cakna masalah jentera Puteri pada PRU yang lalu.. justeru kami mencadangkan agar Pergerakan Puteri UMNO Malaysia meneliti satu transformasi gerak kerja Puteri UMNO. Kami mencadangkan tugas ‘Polling Agent’ diberi kepada Puteri UMNO dan sistem maklumat dibuat kaedah lain memandangkan terlampau banyak sistem digunapakai oleh semua pergerakan dan agensi seolah-olah perlawanan sistem siapa yang paling terbaik,” jelasnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.