Pelombong Politik, Pejuang Jadian Akan Tinggalkan UMNO Di Kala Parti Dilanda Musibah – Zahida

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Ketua Puteri UMNO Malaysia, Zahid Zarik Khan menegaskan, bahawa golongan yang digelar Pelombong Politik dan Pejuang Jadian tidak akan terus kekal di dalam UMNO di saat parti ini dilanda ujian dan akan beralih ke parti-parti yang dapat memberikan imbuhan kepada cita-cita dan matlamat peribadi  golongan tersebut.

Katanya, perkara ini sudah terbukti apabila UMNO kini tidak lagi berada di puncak kekuasaan, pelombong dan pejuang jadian sedit demi sedikit mula meninggalkan parti kerana ia tidak lagi memberikan manfaat kepada perjuangan peribadi mereka itu.

“Pengalaman kekalahan ini juga merupakan satu petunjuk untuk membezakan di kalangan kita, antara pejuang sejati  dan pejuang jadian. Sifat pejuang sejati’ ialah yang kekal dalam apa jua keadaan manakal sifat pejuang jadian pul ahanya muncul di kala senang dan menang, tetapi, lari ketika susah dan kalah.

“Kita saksikan juga golongan Pelombong Politik yang mula menampakkan wajah sebenar mereka. Mereka ini  hanya berpolitik sekiranya dapat meraih faedah peribadi untuk diri sendiri seberapa banyak yang boleh. Bahkan ketika ini, kita juga dapat melihat mereka yang mendapat kedudukan dari UMNO, tetapi menjual kedudukan itu kepada musuh. Maaf kata, mereka tidak lebih daripada pelacur politik yang tidak bermaruah,” tegasnya.

Zahida berkata demikian ketika memberikan ucapan dasar sebagai Ketua Puteri UMNO Malaysia di dalam persidangan Puteri UMNO Malaysia yang berlansung di PWTC di sini hari ini.

Justeru, beliau mahu ahli-ahli Puteri menjadikan kekalahan Barisan Nasional dan UMNO pada pilihanraya ke-14 baru-baru ini sebagai satu pengalaman yang mengajar  nilai kerendahan diri, nilai keinsafan dan menuntut para ahli agar terus bermuhasabah dan memperbetulkan segala salah dan silap sebelum ini.

“Kekalahan ini juga memberikan pengajaran untuk mendidik diri kita untuk mengakui bahawa kuasa yang ada, tidak kekal selama-lamanya.Seperti juga kehidupan kita, kuasa adalah sementara. Ia adalah pinjaman yang diberikan Allah swt. Baik apa yang diberikanNya kepada kita, atau, yang diberikan kepada orang lain. Ia boleh ditarik pada bila-bila masa sekiranya Allah mengkehendakinya. Termasuk mereka yang memerintah hari ini.

“Berdasarkan itu, saya yakin dan percaya di mana hari ini kita hilang kuasa,  tidak mustahil dengan izin Allah swt juga, satu masa nanti, kuasa yang hilang itu akan dapat diperolehi kembali, kerana kuasa pemerintahan itu adalah mutlak milik Allah semata-mata.

“Apa yang  penting, kita mesti jujur dalam meneruskan perjalanan ini. Ikhlas diri dalam perjuangan kita dan sekiranya ditakdirkan UMNO  diberikan lagi kuasa itu, jadikanlah pengalaman kekalahan ini sebagai pengajaran agar kita tidak mendabik dada, sombong dan berbuat sesuatu yang menimbulkan kemarahan rakyat di masa depan,” ujarnya.

Beliau seterusnya memberikan analogi seekor anak burung, di mana sebelum mampu terbang tinggi menjangkaui awan, anak burung itu akan mengalami pengajaran-pengajaran penting sebelum mampu berkepak untuk terbang lebih tinggi.

“Saya menyeru rakan-rakan seperjuangan semua, kita ambil pengalaman  kekalahan lalu sebagai satu pengalaman yang mematangkan untuk kita melangkah lebih jauh lagi.

“Sepertimana seekoran anak burung, mesti melalui pengalaman jatuh dari gunung yang tinggi, terlanggar batu, terguling di bumi, sebelum bangkit kembali, membesar sebagai makhluk yang gagah perkasa, yang boleh terbang lebih tinggi dari gunung tadi.

“Insya-Allah, UMNO yang kini sedang melalui zaman kejatuhan setelah lebih 61 tahun menjadi tonggak pemerintahan negara, mampu untuk bangkit kembali menjadi lebih perkasa, gagah, berani serta dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik dari apa yang pernah diberikan kepada rakyat sebelum ini,” tegasnya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.