Ahli UMNO Perlu Ambil Iktibar Sejarah Kekalahan Parti LDP Dan Golkar – Noraini

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Noraini Ahmad menyeru ahli-ahli UMNO agar sentiasa berfikiran positif dalam usaha untuk mengembalikan kekuatan UMNO dan memulihkan kembali keyakinan rakyat terhadap UMNO yang terhakis ekoran kejayaan propaganda musuh yang berjaya merosakkan imej parti.

Menurut beliau, ahli-ahli UMNO perlu melihat kepada sejarah parti-parti besar dunia yang pernah mengalami kekalahan sepertimana dialami UMNO yang mana dapat memberikan iktibar, semangat dan juga pengajaran kepada pejuang-pejuang parti.

“Saya mahu mengajak kita semua mengimbau sejarah parti-parti politik yang dilabelkan sebagai “Grand Old Party” seperti Parti Republikan di Amerika Syarikat atau Parti Kongres di India. Kedua-dua parti ini pernah jatuh dan bangun.

“Perkara yang sama juga pernah berlaku kepada parti yang seangkatan dengan UMNO seperti Parti Kuomintang atau KMT di Taiwan dan Parti Liberal Demokratik atau LDP di Jepun. Kedua-dua parti ini pernah jatuh dan bangun dalam sejarah politik kepartian negara mereka.

“Dan kita juga boleh menyelusuri sejarah Parti Golongan Karya atau Golkar di Republik Indonesia yang digagas pada tahun 1964. Golkar adalah parti besar dan hebat yang digerakkan oleh prinsip Orde Baru di mana Golkar memerintah Indonesia selama hampir tiga dekad.

“Tiada siapa yang pernah membayangkan Golkar akan tewas. Ironisnya, sejak ia digulingkan lebih 20 tahun yang lalu, hari ini Golkar hanya menjadi parti serpihan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan dasar dalam Persidangan Wanita UMNO Malaysia yang berlansung di PWTC di sini hari ini.

Kejatuhan parti-parti tersebut menurut Noraini, mengandungi banyak pengajaran yang boleh dipelajari di mana ada diantara parti-parti tersebut yang berjaya bangkit dan ada diantaranya terus tenggelam sehingga ia menjadi parti serpihan yang kecil.

“Saya mahu kita berfikiran positif dengan melihat bagaimana Parti Liberal Demokratik (LDP) di Jepun berjaya mendepani kekalahannya dengan cekal dan penuh keinsafan, kemudian kembali memerintah.

“Begitu juga dengan LDP tumbang dalam pilihanraya tahun 2009 di tangan Parti Demokratik Jepun (DPJ). Mandat pemerintahan yang diberi kepada DPJ, bukanlah manifestasi kepercayaan rakyat Jepun terhadap parti itu. Sebaliknya, ia merupakan sebuah hukuman kepada LDP.

“Namun, LDP memulihkan kelemahan mereka dengan cepat. Kepimpinan mereka dengan pantas mengatur strategi. Natijahnya, LDP kembali berkuasa di Jepun pada tahun 2012,” jelasnya.

Justeru, beliau mengharapkan agar pejuang-pejuang UMNO yang ada hari ini terus bangkit dan berfikiran positif untuk terus maju ke hadapan dan memperbaiki segala salah dan silap serta bersatu padu, jangan berpecah belah untuk memastikan usaha untuk mengukuhkan perpaduan parti berjaya.

“Jika kita lihat kepada perkembangan LDP, mereka hanya mengambil masa selama tiga tahun sahaja untuk mereka bangkit semula daripada kekalahan untuk kembali menerajui kerajaan. Persoalannya, berapa tahun pula yang UMNO perlukan?

“Justeru saya mengajak semua pejuang-pejuang UMNO agar tidak bersikap negatif dalam menerima kekalahan parti ini yang boleh menyebabkan UMNO menerima nasib yang sama sepertimana Golkar, yang menjadi parti serpihan yang kecil di mana sudah tentu kita, pejuang-pejuang UMNO dan orang Melayu tidak mahu melihat perkara itu menjadi realiti.

“Igauan PRU-14, sepatutnya sudah cukup menginsafkan kita semua. Kita boleh memilih untuk terus berdukacita, mencari salah atau tuduh menuduh sesama kita. Atau kita terus mengambil langkah proaktif mencari kaedah memperbaiki diri, memulihkan keyakinan rakyat dan kembali berkuasa.

“Sudah sampai masanya UMNO melalui perubahan drastik dan menolak budaya negatif yang telah mencalarkan imej kita selama ini, termasuklah dominasi warlords dalam parti,” tegasnya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.