UMNO Sebuah Perjuangan

Setelah sekian lama kita menjadi parti pemerintah, hari ini kita akan mengadakan Perhimpunan Agung sebagai sebuah parti pembangkang. Bagi kebanyakan kita, mungkin juga semua yang masih ahli, ini adalah pengalaman pertama sebagai ahli UMNO dalam keadaan hilang kuasa di Persekutuan.

2. Pada 1946, UMNO ditubuhkan sebagai sebuah parti pembangkang dalam kerajaan Penjajah British. Sehingga kita menang pilihan raya pertama pada 1955, kita adalah pembangkang kepada kerajaan. Kita adalah pembangkang kepada Malayan Union.

3. Oleh kerana kebanyakan kita tiada pengalaman pembangkang secara total, maka ramailah memilih jalan mudah menyeberang ke pihak lain yang memegang kuasa. Masing-masing ada dorongan tersendiri. Ada sebab peribadi dan ada sebab perjuangan.

4. Ada kerana ditekan pihak pemerintah sehingga terpaksa keluar parti. Ada yang memilih parti pemerintah kerana kelangsungan hidup. Namun tidak dinafikan ada juga menyertai parti pemerintah kerana berpandangan agenda Islam dan Melayu harus dilaksanakan dari dalam sana.

5. Kita yang tinggal harus mula bertanya, apakah kita akan terus berhiba, mengenang nasib lalu dan berulang-ulang bercakap soal kekurangan dan kesilapan kita; atau mula bangkit menggenggam bara api sehingga menjadi arang.

6. Hari ini setiap ahli UMNO perlu bertanya dalam diri sendiri, adakah kita akan terus mencari tunding-menunding sesama kita agar rakan kita tampak lebih buruk dari kita? Kita boleh menyalahkan orang itu dan orang ini, parti itu dan parti ini. Hakikatnya kita kalah sebagai sebuah pasukan besar Barisan Nasional.

7. Ya, kita ada kekurangan dan kesilapan. Manusia mana yang sempurna? Parti mana yang tiada cacat cela? Malah sebahagian dalam parti lawan lebih buruk dan huduh dari kita sama ada sewaktu menjadi kerajaan dahulu atau kerajaan sekarang.

8. Namun kita bukanlah begitu hina dan buruk seperti yang cuba digambarkan oleh pihak lawan. Selama lebih 60 tahun mentadbir negara ini kita telah membawa kemerdekaan, pembangunan dan pemodenan yang sengat menakjubkan berbanding kebanyakan negara-negara serantau.

9. Sama ada ia terhasil di bawah almarhum Tunku Abdul Rahman, allahyarham Tun Abdul Razak, allahyarham Tun Hussien Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, ia adalah hasil perjuangan UMNO dan rakan-rakan parti komponen dalam Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional.

10. UMNO dan Barisan Nasional di bawah pentadbiran Mohd Najib Razak sendiri mempunyai senarai panjang pembaharuan dan pemodenan yang dibuat. Dari penetapan gaji minimum, pertumbuhan ekonomi, pemodenan pengangkutan awam, sehinggalah kepada hal-hal bantuan kepada rakyat mengikut keperluan dan kekurangan.

11. Sudah tentu apabila kita kalah maka musuh dan mereka yang berfikiran negatif akan membicara keburukan dan kekurangan kita; dan melupakan kebaikan dan sumbangan yang telah dicipta selama ini. Ini lumrah dunia politik negara kita. Suatu hari nanti mungkin sejarah akan menghakimi kita dengan lebih baik.

12. Soalnya, hari ini apakah UMNO akan terus mengasingkan diri dan malu dengan serangan pihak musuh, atau bersedia untuk bangkit semula sebagai sebuah parti yang memperjuangkan kepentingan rakyat.

13. Sejarah menunjukkan UMNO bukan sahaja menjaga kepentingan Bumiputera dan Islam seperti matlamat penubuhan, tetapi juga mengambil berat dan memahami kehendak masyarakat bukan bumiputera dan penganut agama lain. Kita telah bina sebuah negara Malaysia yang makmur dan berjaya dalam rencam kepelbagaian kaum, budaya, agama dan jarak geografi.

14. Cukuplah kita berkabung dan bersedih atas kekalahan ini. Ambil iktibar kekalahan ini adalah ujian dan takdir Ilahi. Sebagai parti politik, mungkin Allah menguji kita dengan satu musibah besar ini sebagai peringatan dan kifarah supaya kita dapat bangkit sebagai sebuah parti yang lebih baik pada masa akan datang.

15. Ingatlah walaupun bukan kerajaan kita adalah “single party” yang memenangi kerusi terbanyak Parlimen dan DUN dalam Pilihan Raya Umum lalu. Berjuta orang masih menyokong kita. Sokongan ini harus diterjemahkan dengan satu perjuangan yang lebih bersungguh dan komitmen yang tinggi.

16. Justeru marilah semua ahli, dan penyokong parti termasuk bukan Melayu, untuk turun menunjukkan kesetiaan dan sokongan kepada perjuangan parti ini. Perhimpunan Agung UMNO kali ini merupakan satu ujian apakah kita semua meneruskan perjuangan ketika hilang kuasa.

UMNO Terus Mara Untuk Rakyat Malaysia!

Mahdzir Khalid
Naib Presiden UMNO Malaysia