PAU 2018 Perlu Dijadikan Medan Mencari Titik Tolak Untuk UMNO Kembali Bangkit
KUALA LUMPUR, 28 Sept – Ketua UMNO Bahagian Sik Datuk Mohd. Tajudin Abdullah berkata, Perhimpunan Agung UMNO 2018 (PAU 2018) yang bakal berlangsung pada 28 – 30 Septemper ini harus dijadikan satu medan untuk mencari titik tolak untuk UMNO terus bangkit dan kembali menjadi tonggak negara ini.
Jelas beliau, PAU 2018 kali ini harus membuka pintu seluas-luasnya kepada para perwakilan untuk menyatakan hasrat hati tanpa ada sekatan.
“Kali ini kita perlu memberi peluangkepada perwakilan untuk berucap dan menegur tanpa ada sekatan.
“Inilah peluang kita untuk menyatakan kepada rakyat khususnya ahli tentang segala janji yang tidak ditunaikan oleh kerajaan baru. Kita perlu menjadi pembangkang yang bijak dan menggunakan perhimpunan ini sebagai satu medan untuk UMNO kembali bangkit,” ujar beliau kepada UMNO-Online.
Tambah Tajuddin, Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) telah menjadi medan fitnah sehingga rakyat terpedaya dan merealisasikannya dalam bentuk undi dan kini rakyat telah mula ‘merindui’ kepimpinan BN dan UMNO.
Justeru jelas beliau, gunalah peluang ini sebaik mungkin untuk kembali mendapat kepercayaan rakyat dan ahli.
“Mereka yang pergi meninggalkan parti itu kita biarkanlah sebab masih ramai akan terus setia bersama UMNO dan masih mempunyai semangat juang yang tinggi.
“Saya percaya UMNO akan kembali bangkit,” tegas beliau lagi. – MediaUMNO