PAU 2018 Harus Digunakan Sebaik Mungkin Untuk Membina Kekuatan Di Akar Umbi

SEKIJANG, 27 Sept – Naib Ketua UMNO bahagian Sekijang Anuar Abd Manap berkata, Perhimpunan Agung UMNO 2018 yang bakal berlangsung pada 28 – 30 September ini haruslah digunakan sebaik mungkin bagi membina semula kekuatan di akar umbi sebagai proses mengembalikan kejituan parti keramat ini.

Jelas beliau, budaya seperti mengampu pemimpin dan rasa selesa bekerja kini telah tamat dan semua ahli UMNO harus kembali bangkit dan ada kesedaran bagi memastikan parti keramat ini kembali mendapat tempat di hati rakyat.

“Kekalahan dalam PRU yang lalu harus kita jadikan pengajaran terbaik… kita perlu muhasabah diri… kerana dulu kita takut untuk menegur kepimpinan kita, maka akhirnya kita menerima padah pada PRU yang lepas.

“Maka perhimpunan kali ini yang berteraskan semangat perjuangan jitu, adalah sesuatu yang amat tepat untuk kita mengukuhkan kembali saf dan terus bangkit,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Anuar, perhimpunan kali ini juga amat penting kerana buat pertama kalinya UMNO bakal bersidang sebagai pembangkang.

Justeru, landasan ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin agar ahli UMNO tidak terus leka dan berada di takuk lama.

“Bukan sahaja ahli UMNO tetapi saf kepimpinan tertinggi parti juga harus berubah dan mencari pendekatan untuk merapatkan kembali antara yang atas dan di bawah.

“Kita tidak lagi boleh bersikap mendabik dada atau merasa diri berada di atas. Pandangan di bawah haruslah diterima dan tidak boleh dipandang sepi.

“Saya amat berharap perhimpunan kali ini akan membawa satu wadah baru dalam sejarah UMNO sebagai sebuah parti yang telah banyak berjasa,” ujarnya lagi. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.