Golongan Muda Dialu-alukan Sertai ‘Shadow Cabinet BN’


KUALA LUMPUR, 27 Sept – Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata, UMNO mempelawa golongan muda untuk menyertai ‘shadow cabinet’ Barisan Nasional (BN) yang menggunakan sistem Jawatankuasa Portfolio (JKP) bagi setiap kementerian di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Jelas beliau, sekiranya ada golongan muda yang berminat untuk bersama-sama mengukuhkan parti maka mereka dialu-alukan.

“Semalam saya telah umumkan tentang ‘shadow cabinet’ ini dan di dalam setiap potfolio terdapat dua orang ahli parlimen. Selain itu akan dilantik tiga lagi di setiap potfolio yang bukan daripada ahli parlimen tetapi individu yang boleh kita garap demi kepimpinan masa hadapan.

“Saya telahpun mencadangkan malah telah dipersetujui oleh Presiden parti iaitu dua daripada itu hendaklah daripada kalangan anak muda. Maka saya mempelawa anda semua sekiranya berminat menyertai JKP ini,” ujar beliau dalam pertemuan tertutup bersama perwakilan mahasiswa dalam dan luar negara bersama Ahli Majlis Tertinggi UMNO bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 (PAU 2018).

Tambah Annuar, mesej ini juga telah diberikan kepada Pergerakan Pemuda Dan Puteri UMNO Malaysia agar mereka mengenalpasti individu yang berpotensi.

“Ini adalah langkah kita membuka tingkap, jendela dan pintu penglibatan politik kepada generasi muda kerana UMNO tanpa generasi muda tidak akan ke mana,” tegas beliau.

Dalam pertemuan tersebut juga, Annuar turut menyarankan agar mahasiswa terus menjalinkan kerjasama bersama UMNO walaupun di luar musim PAU 2018.

“Saya harap anda semua bukan sekadar hadir, tetapi wujudkanlah jalinan kerjasama hatta di luar musim PAU.

“Dua tahun daripada sekarang, UMNO akan mengadakan pemilihan sekali lagi. Saya meramalkan menjelang PRU-15, UMNO perlu tampil dengan wajah dan semangat baru. Orang lama seperti saya perlu undur membantu dari belakang.

“Tetapi pejuang-pejuang di saf hadapan perlu diberi kepada generasi baru orang muda,” katanya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.