Bajet 2019 : Kerajaan Yang Silap Urus Ekonomi, Rakyat Pula Diminta Berkorban


KUALA LUMPUR, 27 Sept – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu terima hakikat bahawa polisi-polisi dan langkah-langkah mereka sendiri yang telah menukar halatuju ekonomi kepada arah yang lebih teruk dan akhirnya mereka mahu rakyat berkorban ekoran dasar teruk itu, kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Bidas beliau, dahulunya, Malaysia ada Program Transformasi Negara yang begitu teratur dan berkesan tapi kini ada menteri kewangan yang takut popularitinya terancam dan satu kerajaan yang minta rakyat untuk berkorban oleh kerana langkah-langkah regresif mereka.

“Pagi ini, Lim Guan Eng merengek bahawa dia mungkin akan diingati sebagai menteri kewangan paling tak popular dalam sejarah,” katanya menerusi satu catatan dalam laman facebooknya, hari ini.

Katanya, ini berikutan Bajet 2019 yang akan dibentang tidak lama lagi akan memotong banyak bantuan untuk rakyat ataupun mengenakan lebih banyak cukai baharu dengan alasan hutang negara RM1 trilion rekaan kerajaan PH perlu dilangsaikan.

“Sekian lama, kerajaan PH menggunakan alasan hutang telah mencecah RM1 trilion tetapi ramai ahli-ahli ekonomi termasuk Moody’s telah mempertikai kaedah mengira hutang dibuat PH.

“Sebagai contoh, apabila Guan Eng menperincikan bagaimana hutang sudah menjadi RM1 trilion dia telah memberitahu bahawa RM201.4 bilion dari RM1 trilion ini ialah kerana kerajaan perlu membayar kos sewa dan kos penyelenggaraan.

“Siapa antara saudara-saudari yang menyewa rumah ataupun pejabat pernah mengambil kira atau memasukkan kos sewa dan kos penyelenggaraan sebagai hutang peribadi anda?”

Tegasnya, masalah pokok kerajaan hari ini sebenarnya ialah akibat daripada langkah diambil mereka sendiri selepas PRU14 untuk memberi tempoh 3 bulan sifar cukai tanpa GST ataupun SST, menggantikan GST dengan SST, mengembalikan subsidi pukal dan pembatalan projek-projek secara meluas.

“Ini telah mengakibatkan kerajaan kehilangan dana sekurang-kurangnya RM40 bilion setahun tidak termasuk wang input GST yang perlu dibayar balik kerana GST tiba-tiba disifarkan dan dimansuhkan.

“Pembatalan projek-projek secara meluas juga akan merendahkan kadar pertumbuhan ekonomi. Jika ditambah dengan langkah kerajaan untuk mengurangkan bantuan termasuk bayaran BR1M maka ini akan menyebabkan aktiviti ekonomi di dalam negara akan menjunam lebih banyak lagi sehingga Malaysia mungkin terjerumus ke dalam kemelesetan ekonomi.”

Tetapi katanya, lebih senang untuk mereka menuding jari kepada kerajaan lama dan beliau sendiri dengan cerita hutang RM1 trilion.

“Saya juga pasti bahawa bajet 2019 akan merupakan bajet defisit. Ini bermakna hutang negara akan bertambah dan bukan dikurangkan. Guan Eng sudah memberi gambaran ini akan berlaku kerana sejak minggu lalu, beliau telah mengumumkan bahawa kerajaan akan menerbitkan lebih banyak bon kerajaan. Menerbitkan bon maksudnya meminjam wang. Dan ini adalah hutang.

“Selama 9 tahun di bawah kerajaan BN pimpinan saya, saya tidak pernah meminta rakyat untuk ‘berkorban.’ Ekonomi semakin bertumbuh dan bantuan kepada rakyat semakin bertambah. Tiba-tiba apabila kerajaan PH mengambil alih dan mengubah polisi ekonomi Malaysia secara dasar, mereka mahu rakyat untuk bersedia berkorban,” bidasnya lagi yang juga Ahli Parlimen Pekan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.