UMNO Wujud Bukan Sekadar Mahu Menang Pilihanraya – Annuar Musa

KUALA LUMPUR, 26 Sept – Setiausaha Agung UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa berkata, UMNO bukan wujud hanya sekadar untuk memenangi pilihanraya, tetapi UMNO itu wujud adalah kerana tuntutan fardhu kifayah untuk menegakkan syiar Islam, untuk membela maruah, nyawa serta kedaulatan negara.

Tambahnya lagi, UMNO tanpa pegangan agama bukan UMNO,  seperti mana orang Melayu tanpa Islam itu bukan dianggap sebagai Melayu dalam konteks perlembagaan undang-undang di negara ini.

“Ini yang kita sebagai ahli dan penyokong UMNO harus faham. Wujudnya UMNO itu bukan sekadar mahu menang pilihanraya. Wujudnya UMNO itu adalah sebahagian daripada fardhu kifayah kerana untuk membela nyawa, maruah, harta, kedaulatan negara di mana itu adalah sebahagian daripada tuntutan agama.

“Maka kerana itu, kita ketepikan soal perkauman yang wujud di dalam etnik Melayu seperti Jawa, Banjar, Bugis dan lain-lain, walaupun semua kaum itu termasuk di dalam rumpun  Melayu, untuk menubuhkan UMNO di atas faktor yang menyatukan iaitu Islam.

“Prinsipnya, sebagai bangsa yang beragama, kehidupan kita ini mempunyai tanggungjawab, bukan sahaja terhadap Tuhan, tetapi juga kepada manusia yang berada di sekeliling kita. Jadi, terwujudnya UMNO itu, ia mempunyai roh keagamaan yang cukup kuat. Maka itulah roh idealisme UMNO.

“Setelah lebih 446 tahun kita dijajah sehingga menyebabkan kita tidak dapat menegakkan tuntutan agama, ertinya sebahagian daripada tuntutan fardhu kifayah tidak dapat tertunai oleh kita, maka kerana dorongan agama itu begitu kuat, maka kita ketepikan segala lain untuk bersatu. Maka lahirlah perjuangan UMNO yang secara teras dalam bahasa ringkasnya Alif, Ba, Ta,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel diskusi ‘live’ UMNO-Online sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 yang akan bermula dri 28 – 30 September ini.

Menurut Annuar lagi, sekiranya orang Melayu bukan bangsa yang beragama barangkali UMNO tidak akan wujud pada tahun 1946 dulu.

“Wujudnya UMNO itu didasari oleh roh keagamaan yang cukup kuat berdasarkan prinsip sepertimana yang disebut di dalam Al Quran iaitu Habluminallah dan Habluminannas, yang memerintahkan umat Islam memelihara hubungannya dengan Allah dan juga manusia.

“UMNO adalah alat, bukan matlamat. Matlamatnya ialah keredhaaan Allah. Kalau itu kita dapat fahami, kita tidak akan terloncat-loncat mencari parti lain. Kalau itu kita dapat fahami, kita tidak akan rasa malu dalam keadaan kita kalah. Kalau itu difahami, kita tidak akan malu kita sudah tidak ada kuasa. Sebabnya, kita buat semua ini adalah kerana Allah semata-mata.

“Ganjaran itu bukan hanya pangkat, bukan hanya kerusi parlimen atau DUN, bukan kerana kuasa, jauh sama sekali soal dapat projek dan sebagainya. Ganjaran yang paling besar ialah ganjaran daripada Allah. Jadi perbetulkanlah nawaitu  dan idealisme itu,” tegasnya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.