Tutup Pusat Tahfiz Bukan Jalan Penyelesaian Terbaik – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 26 Sept – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merasa amat kecewa dengan keputusan Menteri Wilayah untuk menutup semua Pusat Tahfiz yang tidak berdaftar dan menyifatkan tindakan itu seolah-olah bersikap berlepas tangan daripada tanggungjawab sebuah kerajaan pemerintah.

Menurut beliau, memang benar banyak Pusat Tahfiz yang tidak berdaftar di dalam keadaan yang uzur dan boleh mendatangkan bahaya kepada pelajar dan anak Tahfiz, namun menutup semua pusat tahfiz bukan salah satu jalan penyelesaian terbaik.

“Kementerian Wilayah tidak sepatutnya mengambil jalan mudah dengan membuat keputusan dan arahan penutupan kepada pusat-pusat tahfiz ini.

“Sepatutnya Kementerian Wilayah membantu dan mengambil langkah menaiktaraf dan mendaftarkan pusat-pusat tahfiz tersebut.

“Sewaktu Kerajaan BN, kita telah memperuntukkan sejumlah RM 50 juta untuk membaik pulih dan menaiktaraf 721 pusat-pusat tahfiz yang tidak berdaftar bagi menjamin keselamatan dan memberikan keselesaan suasana dan persekitaran pembelajaran kepada pelajar-pelajar tahfiz. Sebanyak 442 buah telah selesai diselenggara dan dinaiktaraf pada Mei 2018,” jelasnya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Tambah Ismail lagi, daripada jumlah keseluruhan itu, kerajaan BN ketika itu telah mengenal pasti ada pusat tahfiz tidak perlu dibaiki kerana berkeadaan baik dan sesetengah pusat tahfiz tidak mahu menerima peruntukan kerana perbedaan fahaman politik.

“Tetapi kita terus menghulurkan bantuan dalam bentuk yang lain. Sejumlah 612 pusat tahfiz yang berdaftar dengan kerajaan ketika itu diberikan peruntukan pendawaian semula semua bangunan mereka yang melebih masa yang telah ditetapkan oleh Pihak Bomba dan telah siap juga pada Mei 2018.

“Selain itu, bagi menjamin masa depan mereka, kerajaan BN juga telah memperuntukkan RM 40 juta untuk memberikan latihan teknikal dan vokasional kepada pelajar-pelajar ini supaya selepas tamat pembelajaran mereka bukan sahaja bergelar huffaz tetapi mahir di dalam bidang TVET.

“Kerajaan BN juga telah menubuhkan Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri untuk menyelaras dan menyelesaikan semua isu yang melibatkan pusat tahfiz terutamanya dalam menyediakan sillibus matapelajaran, supaya membolehkan mereka mengikuti pelajaran formal dan mengambil peperiksaan formal seperti pelajar-pelajar lain di aliran pendidikan kebangsaan,” jelasnya

Apa yang dilakukan oleh kerajaan BN kata Ismail lagi memperlihatkan sikap prihatin kerajaan BN ketika itu dalam menjaga kepentingan Pendidikan Islam.

Tetapi malangnya kata beliau lagi, kerajaan PH hari ini tidak langsung menunjukkan kesungguhan dan minat mereka untuk menjaga Institusi Islam.

“Ini jelas apabila sebaik saja mendapat mandat pada PRU ke 14 lalu, kerajaan baru melalui Menteri Pendidikan PH mengisytiharkan bahawa Sekolah Menengah Persendirian Cina – SMPC layak mendapat peruntukan dari kerajaan, walaupun SMPC ini tidak pernah berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan kerana enggan menggunapakai polisi dan dasar pendidikan negara.

“Namun ia amat berbeza dengan sikap kerajaan terhadap pusat tahfiz di mana tindakan kerajaan PH boleh dianggap sebagai kejam dengan menutup pusat-pusat tahfiz, walaupun bukan semua bermasalah.

“Tindakan ini boleh dianggap menyekat hak asasi individu untuk mendapatkan hak asasi asas setiap manusia iaitu hak untuk mendapatkan pendidikan.Tindakan ini jelas menunjukkan Kerajaan PH gagal untuk menjaga kepentingan umat Islam di negara yang agama rasminya adalah Islam.

“Saya berharap para agamawan serta pendidik tanpa mengira kaum dan ugama untuk bersama-sama mempertahankan institusi pendidikan Islam ini. Ini bukan isu politik kepartian.

“Ini bukan soal ugama semata-mata tetapi lebih kepada soal hak mendapat pendidikan kepada rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Ini juga berkaitan kebajikan anak-anak tahfiz yang akan kehilangan tempat pembelajaran mereka,” tegasnya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.