Boikot PRK Port Dickson : Biarkan Luncai Terjun Dengan Labu-Labunya – Azhari

KUALA LUMPUR, 26 Sept – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berpandangan  keputusan  parti boikot Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson bukan bermakna Barisan Nasional (BN) ingin memberi laluan mudah kepada Calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau cukuplah ‘terkena’ dengan episod Langkah Kajang beberapa tahun lalu yang mana modus operandinya sama, penyandang kerusi meletakkan jawatan wakil rakyat semata-mata inginkan pemimpin mereka menjadi pemimpin nombor satu.

“Semasa itu panas dengan isu Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail bakal dilantik menjadi Menteri Besar Selangor. Namun kesudahannya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menjadi Menteri Besar.

“Kali ini boleh dikatakan Langkah Port Dickson pula memasuki carta politik dengan kaedah yang sama. Penyandang dengan rela melepaskan jawatan yang diberikan rakyat kepadanya.

“Saya tidak melihat kekuatan Anwar boleh longlai hanya kerana BN mahupun lain-lain calon menyainginya. Apa yang menjadi penyebab utama kita tidak mahu bertanding adalah disebabkan Pilihanraya Umum ke 14 masih ‘merah’ lagi dan rakyat berdasarkan tiga PRK seakan tidak kisah walaupun Pakatan Harapan tidak komited melunaskan janji manifesto mereka,” katanya menerusi catatan di facebook.

Kata beliau lagi bak kata pepatah biarlah luncai terjun dengan labu-labunya dan sepertimana yang diperkatakan, kos RM3 juta lebih untuk PRK Port Dickson ada baiknya digunakan untuk membantu masyarakat marhaen di negara ini.

“Sama ada Anwar menang atau sebaliknya kos PRK yang terlibat sudah pasti semuanya akan hangus. Ini semua demi memenuhi tuntutan demokrasi. Kita berharap ahli kita tidak kecewa dengan keputusan pucuk pimpinan untuk tidak bersaing di Port Dickson pada 13 Oktober depan.

“Ada baiknya kita gunakan masa kempen tersebut untuk mengadakan acara bersama rakyat di kawasan masing-masing,” ujarnya. -MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.