UMNO Johor Cadang PM Tidak Semestinya Presiden Parti

JOHOR BAHRU, 25 Sept – Cadangan agar jawatan perdana menteri tidak semestinya diisi oleh presiden parti adalah antara tiga usul yang akan dibawa UMNO Johor ke perhimpunan agung parti pada Sabtu ini yang diyakini dapat mengekang budaya bolot dalam UMNO.

Pengerusi UMNO Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata cadangan lain ialah pemimpin UMNO tidak semestinya menjadi calon pilihan raya dan wakil rakyat.

“Ini sebagai usaha membendung monopoli dalam parti dan bagi meraih (kembali) keyakinan masyarakat.

“Macam saya katakan baru-baru ini (tentang) ‘bolot dalam parti’, supaya kita akan lebih menumpukan kepada penerimaan masyarakat kepada wakil rakyat yang hendak diketengahkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Wanita UMNO Negeri di Bilik Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO, di sini hari ini.

Selain itu, katanya UMNO Johor juga akan mencadangkan penubuhan sebuah institusi kepimpinan yang mampu mencorakkan pergerakan sesebuah parti agar lebih fokus terhadap arah tuju dan berwawasan.

Selain itu, beliau berkata UMNO Johor juga akan menyatakan pendirian mereka mengenai kedudukan dan kepentingan orang Melayu dalam beberapa isu-isu berbangkit supaya tidak dianggap rasis.

Sementara itu, Hasni menyatakan sokongan UMNO Johor terhadap keputusan pimpinan pusat memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson yang akan diadakan pada 13 Okt ini.

“Tujuan diadakan PRK bukan atas sebab-sebab yang lazim seperti kematian atau yang menyebabkan individu itu hilang kelayakan dan sebagainya tetapi dibuat atas tujuan untuk memenuhi aspirasi individu-individu tertentu maka tidak wajar untuk kita bazirkan wang rakyat menyokong PRK tersebut,” kata beliau.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.