Langkah BN Boikot PRK Port Dickson Tepat – Nazir

KUALA LUMPUR, 25 Sep – Ketua Pemuda UMNO Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Husin hari ini menzahirkan penghargaan kepada pucuk pimpinan UMNO di atas keputusan untuk memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Sambil menyatakan kesyukuran atas keprihatinan pucuk pimpinan UMNO ke atas suara akar umbi, Nazir Hussin menambah, tindakan memboikot PRK tersebut membuktikan UMNO rasional dan berbijaksana dalam berpolitik.

“UMNO perlu fokus kepada proses pemulihan dan tindakan memboikot PRK Port Dickson akan memberi kelebihan kepada parti untuk menumpukan kepada Perhimpunan Agung UMNO hujung minggu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah memutuskan bahawa BN memboikot PRK Port Dickson pada Oktober depan.

“Maka kami mengambil keputusan bahwa BN akan boikot PRK PD. Ertinya kita tak akan letakkan calon mewakili BN atau atas nama BN,” kata Ahmad Zahid yang juga pengerusi BN.

Sebelum ini, Nazir Hussin pernah menyarankan UMNO tidak bertanding di PRK Port Dickson yang dikosongkan untuk membuka jalan kepada bakal presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

“Tiada untung bertanding di Port Dickson kerana ‘track record’ tiga PRK (Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong baru-baru ini) tidak memihak kepada BN.

“Sentimen rakyat masih tidak berubah, sukar untuk mengembalikan kepercayaan mereka kepada UMNO dan BN. Majoriti undi bangsa lain termasuk Cina masih belum kembali.

“Sama ada Anwar menang atau tidak, langsung tidak memberikan kesan kepada UMNO/BN. Biarlah Anwar bertanding, UMNO/BN tidak perlu menghabiskan masa, wang dan tenaga demi cita-cita Anwar itu,” jelas Nazir Hussin.

Mengulas lanjut, kata Nazir Hussin, pihaknya yakin keputusan memboikot PRK itu tidak akan menjejaskan semangat serta keyakinan ahli-ahli UMNO dalam mendepani kerajaan hari ini.

“Kerja UMNO menjadi lebih mudah kerana rakyat kini dapat melihat dengan sendirinya bahawa Pakatan Harapan terlalu tidak cekap dalam menjalankan tugas mentadbir negara, BN tetap kerajaan terbaik,” ujar beliau lagi. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.