Bukan Sekadar Hala Tuju, PAU Kali Ini Akan Jadi Pembangkit Semangat Juang Ahli – Mahdzir Khalid
KUALA LUMPUR, 25 Sept – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid yakin bahawa hakikatnya, ahli-ahli UMNO tahu dan faham akan hala tuju parti ini ke mana arahnya, biarpun kini UMNO tidak lagi memegang tampuk kerajaan dan beralih menjadi pembangkang selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.
Justeru, apa yang lebih penting menurut beliau di dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ini ialah bagaimana ahli-ahli UMNO mahu membina semangat dan kekuatan melalui persidangan sebagai pembangkang untuk pertama kalinya.
“Kita sudah tidak lagi menjadi kerajaan. Jadi sudah tentulah tidak ada cerita tentang projek pembangunan. Jadi janganlah kita bercerita tentang hal-hal projek pembangunan. Janganlah kita bercerita tentang hal-hal kebajikan sepertimana kita buat ketika di dalam kerajaan dulu. Tidak payahlah cerita tentang permohonan.
“Sudah tentulah hala tuju kita tetap sama sepertimana dulu. Cuma dari segi pelaksanaan sahaja yang berbeza kerana kita kini sudah berada sebagai pembangkang dan bukan lagi sebagai kerajaan seperti mana dulu.
“Jadi, apa yang jelas hari ini ialah, bagaimana kita mahu menjadikan persidangan kali ini sebagai satu himpunan yang dapat menaikkan semangat ahli-ahli kita diseluruh negara, bagaimana kita mahu menggarap segala kekuatan yang ada dan bergerak sederap dalam menuju kepada kejayaan dalam konteks kejayaan dalam pilihan raya,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam menjawab soalan moderator, Datuk Dr Azizan ketika menjadi ahli panel dalam program diskusi menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2018 yang bersiaran secara langsung melalui medium facebook UMNO Online.
Tegasnya, ahli UMNO perlu dilihat kuat dan bersoladiriti walaupun dalam keadaan parti ini telah kalah di dalam PRU-14 sebelum ini, jelas hala tujunya, berada di atas landasan yang betul, maka rakyat akan kembali menyokong UMNO seperti sebelum ini dan ini perlu dibuktikan melalui perhimpunan kali ini.
“Rakyat akan kembali bersama UMNO sekiranya mereka lihat parti ini terus kekal kutuh dan utuh, serta mempunyai misi dan visi yang jelas. Mereka akan bersama-sama kita.
“Apatah lagi dalam keadaan kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PH) hari ini, yang begitu banyak timbulnya isu-isu yang tidak sepatutnya yang dilihat sebagai cubaan untuk melanggar perlembagaan negara, isu-isu kaum dan agama, ditambah dengan ketidaktentuan ekonomi selepas mereka mengambil alih, saya fikir rakyat masih lagi mengharapkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk kembali memegang tampuk pemerintahan negara.
“Kita mestilah dilihat mempunyai satu solidariti yang padu, kebersamaan yang jitu, barulah rakyat yakin dengan kita,” tegasnya lagi yang juga Ahli Parlimen Padang Terap.-MediaUMNO