UMNO Failkan Writ di Mahkamah Tinggi – Antara lain tuntut RM116.7 juta Milik Parti

KUALA LUMPUR, 24 Sept – UMNO pada 21.9.2018 telah memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur antara lain untuk menuntut RM116.7 juta milik UMNO yang didakwa disita oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tuntutan tersebut telah difailkan terhadap Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis, Dato’ Mohd Sakri Arifin iaitu pegawai serbuan dan empat yang lain.

Tetuan Scivetti & Associates melalui Peguam Utama UMNO, Dato’ Hariharan Tara Singh telah memaklumkan bahawa sesalinan Writ bertarikh 21 Sept 2018 dan Pernyataan Tuntutan bertarikh 20 Sept 2018 telah diserahkan kepada kesemua Defendan pada 21.9.2018 dan Defendan-Defendan mempunyai tempoh sebanyak 14 hari dari tarikh penyerahan untuk memasukkan kehadiran di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Mahkamah telah menetapkan tarikh 15 Okt 2018 untuk Pengurusan Kes di hadapan Timbalan Pendaftar, Puan Rumaizah Baharom di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” katanya melalui kenyataan media hari ini. – MediaUMNO

KENYATAAN AKHBAR OLEH PEGUAM UMNO
(ISNIN, 24.9.2018)

Pada 21.9.2018, atas arahan anak guam kami, kami telah memfailkan Writ bertarikh 21.9.2018 dan Pernyataan Tuntutan bertarikh 20.9.2018 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui guaman sivil no. WA-21NCvC-78-09/2018 (“Saman tersebut”) terhadap pegawai serbuan iaitu Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis, Dato’ Mohd Sakri Bin Arifin dan 4 yang lain untuk menuntut, antara lain, jumlah yang telah didakwa disita sebanyak RM116,700,000.00 oleh Polis Diraja Malaysia (“PDRM”) yang dimiliki oleh UMNO. Mahkamah telah menetapkan tarikh 15.10.2018 untuk Pengurusan Kes di hadapan Timbalan Pendaftar, Puan Rumaizah Baharom. Kami juga pada 21.9.2018 telah menyerahkan Writ bertarikh 21.9.2018 dan Pernyataan Tuntutan bertarikh 20.9.2018 kepada kesemua Defendan. Defendan-Defendan dalam tempoh 14 hari dari tarikh penyerahan Writ hendaklah menyebabkan suatu kehadiran dimasukkan.

Dato’ Hariharan Tara Singh (Lead Counsel)
Messrs Scivetti & Associates

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.