Puteri Sokong Keputusan Tidak Bertanding Di PRK Port Dickson

KUALA LUMPUR, 24 Sept – Ketua Puteri UMNO Malaysia, Zahid Zarik Khan menganggap keputusan pucuk pimpinan UMNO untuk tidak bertanding pilihanraya kecil Port Dickson adalah satu keputusan yang tepat.

Ini memandangkan menurutnya, PRK tersebut menelan belanja yang besar dan diadakan hanyalah untuk memenuhi kehendak peribadi pemimpin dan bukan disebabkan kepentingan pengundi di kawasan tersebut.

“Ya, bagi saya keputusan untuk memboikot PRK Port Dickson itu adalah satu keputusan yang tepat.

“Ini memandangkan peruntukan untuk PRK Parlimen kali ini amat besar, disaat Kerajaan PH menyatakan kedudukan kewangan tenat, hutang negara dan sebagainya.

“Jadi eloklah RM3.5juta seperti yang diumum SPR itu digunakan untuk kebajikan rakyat di negara ini atau dikawasan parlimen tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Kata Zahida lagi, kekosongan kerusi Parlimen PD bukanlah disebabkan kematian seperti kebiasaan PRK yang lain.

“Apa yang jelas, BN tidak mahu melayan dan terlibat dalam percaturan nafsu politik pemimpin tertentu yang menyalah gunakan proses demokrasi,” jelasnya.

Sementara itu, beliau turut terkejut dengan kenyataan bekas Ketua Puteri UMNO, Mas Ermiyatie yang mempertikaikan keputusan UMNO itu.

“Saya agak terkejut juga dengan kenyataan bekas pemimpin UMNO itu yang beria-ia mempertikaikan keputusan ‘konsensus’ BN itu.

“Mungkin beliau sudah mulai rindu dengan UMNO agaknya,” katanya sinis. –MediaUMNO