PRK Port Dickson: BN Putus Calon Lepas Mesyuarat 2 Petang Ini
SEREMBAN, 24 Okt – Keputusan sama ada Barisan Nasional (BN) akan meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson akan dibuat dalam mesyuarat Biro Politik UMNO pukul 2 petang ini.
Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata keputusan itu kemudiannya akan dibawa ke mesyuarat bersama pimpinan BN, esok.
“Semua pandangan akan diambil kira… perlu atau tidak BN ambil bahagian dan letakkan calon kerana PRK ini sengaja diadakan,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Pembukaan Persidangan Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-14 di sini, hari ini.
Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, untuk membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang merupakan bakal Presiden PKR baharu, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Port Dickson pada 13 Okt depan, hari penamaan calon ditetapkan pada 29 Sept dan hari mengundi awal pada 9 Okt.
Setakat ini, Parti Rakyat Malaysia mengumumkan akan bertanding pada PRK Port Dickson.