MCA perlu dapatkan penjelasan kerjasama UMNO-Pas

KUALA LUMPUR 24 Sept. – Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai seharusnya mendapatkan penjelasan terlebih dahulu tentang kerjasama antara UMNO dan Pas, daripada membuat kenyataan mengenai pembubaran Barisan Nasional (BN).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, kenyataan Tiong Lai mengenai pembubaran BN atau menyingkirkan UMNO daripada gabungan tersebut adalah satu tindakan terburu-buru.

Beliau menambah, Presiden MCA itu seharusnya tahu menggunakan saluran rasmi bagi menyuarakan pandangannya.

“UMNO konsisten berpegang kepada pada prinsip penubuhan parti dan prinsip setiakawan BN.

“Saya yakin isu ini boleh diselesaikan bila mesyuarat BN tidak lama lagi utk diberikan penjelasan dan strategi hala tuju BN ke arah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya, MCA harus meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan melalui kerjasama dengan semua parti untuk menyemak dan mengimbangi kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Semasa berucap dalam Konvensyen MCA Selangor 2018 di sini hari ini, Tiong Lai memberi amaran MCA mungkin akan menyingkir UMNO daripada BN jika parti itu bergerak ke arah politik teokrasi.- UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.