Perhimpunan Agung UMNO 2018 Bentuk Hala Tuju Baru UMNO, Perkukuhkan Semangat
KUALA LUMPUR, 23 Sept – Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia Datuk Dr Noraini Ahmad mengharapkan agar Perhimpunan Agung UMNO yang bakal berlangsung pada 28 – 30 Sept ini akan membentuk satu hala tuju baru bagi parti keramat ini sekaligus dapat menaikkan semangat akar umbi.
Beliau percaya, perhimpunan kali ini yang menekankan aspek perjuangan juga adalah sesuatu yang tepat kerana semua ahli perlu bangkit untuk membina dan mengukuhkan lagi UMNO dalam kembali memenangi hati dan kepercayaan rakyat.
“Perhimpunan ini bakal membuka lembaran baru buat kita semua kerana buat pertama kalinya kita bakal bersidang sebagai pembangkang.
“Maka kita perlu berfikiran sebagai pembangkang tetapi haruslah pembangkang yang berwibawa. Kita tidak mahu berteraskan fitnah kerana itu bukan cara kita.
“Sebagai Ketua Pergerakan Wanita yang baru tambahan pula di kala kita bukan lagi sebagai kerajaan, sudah pasti tugas yang berat menanti saya dan kerana itu saya memerlukan semua pihak untuk bersama-sama saya bagi terus menjadi tulang belakang UMNO,” ujar beliau kepada UMNO-Online.
Noraini turut melahirkan keyakinan, jentera Wanita akan terus menjadi sumber kekuatan parti tidak kira apapun situasinya.
“Saya penuh yakin, parti boleh mempercayai kesetiaan Wanita. Kerana itulah, perhimpunan kali ini harus dipergunakan sebaik mungkin untuk kita terap dan semaikan semangat perjuangan bagi memulihkan parti yang telah banyak berjasa ini.
“Kita tidak lagi boleh bergerak seperti biasa. Apa yang terjadi pada PRU yang lalu harus dijadikan pengajaran untuk kita jadi lebih utuh.
“Kita harus bersatu… kerana itulah kunci kekuatan kita untuk terus berjuang,” jelas beliau lagi. – MediaUMNO