Kekuatan UMNO Datang Dari Kekuatan Sokongan Akar Umbi – Dr Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR, 23 Sept – Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Dusuki menegaskan, ahli-ahli UMNO tidak perlu merasa gundah gulana tentang kekuatan UMNO hari ini kerana kekuatan yang ada pada parti terbesar Melayu hari ini adalah datangnya daripada akar umbi di seluruh negara.
Apa yang paling penting menurut Asyraf ialah soal pengukuhan parti agar ia terus mampu untuk menjadi parti politik Melayu yang mewakili majoriti terbesar suara kaum tersebut di negara ini.
“Kita jangan merasa gundah gulana kerana kekuatan UMNO adalah kekuatan akar umbi. Jadi hari ini, akar umbi sedang ternanti-nanti apa sebenarnya mesej yang hendak disampaikan kepada ahli dan rakyat secara keseluruhannya. Kita tidak perlu menagih belas ehsan daripada mana-mana pihak.
“Apa yang penting ialah ahli-ahli UMNO kena jelas dengan misi dan matlamat parti dalam menghadapi cabaran baru politik hari ini dan apa yang ingin kita perkukuhkan dalam konteks UMNO itu sendiri,” jelasnya kepada pemberita selepas selesai menghadiri mesyuarat ahli Majlis Tertinggi UMNO di Bangunan Dato Onn di sini hari ini.
UMNO juga menurutnya lagi, perlu jujur dengan ahli-ahli dalam memberikan penerangan dan penjelasan berhubung isu-isu politik semasa yang berlaku di dalam parti dan juga negara hari ini.
“Kita hari ini perlu secara jujur menerangkan isu-isu yang berlaku atau hal-hal yang bersangkutan dengan perjalanan parti kepada ahli-ahli UMNO peringkat akar umbi.
“Dan apa yang paling penting untuk ditekankan ialah asas dan akar perjuangan yang dibawa oleh parti hari ini jangan sesekali kita longgarkan dan mesti kita perteguh serta pertahankan asas-asas perjuangan tersebut,” ujarnya.-MediaUMNO