UMNO Kelantan Yakin Mustapa Tidak Pengaruhi Ahli Keluar Parti

KOTA BHARU, 22 Sept – Badan Perhubungan UMNO Kelantan melahirkan keyakinan bahawa Datuk Seri Mustapa Mohamed tidak akan ‘memancing’ anggota lain untuk keluar meninggalkan parti itu.

Pengerusinya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata walaupu​​​​​​n​ Mustapa belum menjelaskan keputusannya keluar parti Selasa lalu, beliau yakin bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri tersebut masih menyayangi UMNO.

“Saya tak terfikir perkara ini akan berlaku tapi kita hormati keputusan beliau atas prinsip demokrasi yang diamalkan di negara ini. Sehingga hari ini saya belum dapat jumpa beliau untuk mendengar penjelasan berhubung pengundurannya daripada UMNO.

“Saya dan rakan-rakan ambil keputusan untuk tidak menuduh dan membuat andaian yang bukan-bukan kerana penjelasan perlu datang daripada beliau sendiri. Tapi saya yakin Tok Pa (Mustapa) tidak akan mempengaruhi orang lain untuk meninggalkan parti dan bersama-sama beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat tertutup bersama Biro Politik Empat Peringkat UMNO Kelantan di Bangunan UMNO Kelantan di sini, hari ini.

Selasa lepas, Mustapa yang juga Anggota Parlimen Jeli, mengumumkan keluar parti itu yang dianggotainya sejak 40 tahun lalu.

Mengulas isu berkaitan, Ahmad Jazlan menyanggah maklumat yang tular menerusi media sosial berhubung senarai anggota parlimen UMNO termasuk namanya sebagai antara yang akan keluar parti dalam masa terdekat.

Katanya beliau akan terus kekal dan istiqamah dengan perjuangan UMNO kerana beliau memenangi kerusi Parlimen Machang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu atas tiket Barisan Nasional (BN).

“Saya tak boleh mengkhianati amanah parti dan rakyat yang telah pilih saya atas nama UMNO (dan BN). Saya akan terus istiqamah dengan perjuangan UMNO sehingga ke penghujungnya,” katanya.

Ditanya mengenai hubungan antara PAS dan UMNO ketika ini, Ahmad Jazlan berkata tiada sebarang ikatan kukuh dilakukan antara kedua-dua parti setakat ini dan masing-masing memilih untuk bersama-sama dalam beberapa isu semasa.

“Selebihnya kita akan akur dan menyerahkan mandat kepada presiden untuk masa depan kedua-dua parti untuk menghadapi PRU15,” katanya.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.