PTPTN: Kesilapan Besar Dasar Pendidikan Tun M

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir didakwa gagal dalam mewujudkan sistem pendidikan negara yang kompetatif setelah mewujudkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Razlan Rafii berkata, PTPTN bukan sahaja telah ‘mendidik’ rakyat untuk berhutang, malah seolah-olah menjadikan bidang pendidikan sebagai ‘lubuk’ wang ringgit.

Berikut merupakan kenyataan penuh beliau:

PTPTN sudah wujud semenjak tahun 1997. Ia adalah kegagalan dasar Dr. Mahathir dalam mewujudkan sistem pendidikan yang kompetatif di negara.

Sebelum wujud dasar ini, selain dari ibu bapa, kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta sering kali dijadikan tempat untuk mengadu bagi anak-anak melanjutkan pelajaran.

“Belajar pandai-pandai nak, nanti boleh apply biasiswa, boleh apply JPA ataupun Petronas”, itulah ungkapan sering kali diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka, namun selepas 1997 ia bukan lagi seperti itu. Bermula saat itu, kerajaan sudah mula lari daripada tanggunjawab pendidikan serupa juga GLC dan juga syarikat-syarikat besar.

Pada 1997, PTPTN ini diwujudkan, lambakan kolej swasta tanpa ada kawalan dibuka macam cendawan, kroni-kroni Dr. Mahathir membuka kolej swasta ini tanpa memikirkan kualiti pembelajaran, apa yang mereka tahu adalah mendapatkan ‘database’ lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Kementerian Pelajaran dan mempromosikan pembelajaran dengan PTPTN, mereka mempergunakan sistem ini dengan salah dan tidak ada yang menegur.

Dr. Mahathir juga adalah pemimpin yang bertanggungjawab mewujudkan masyarakat berhutang, anak-anak seawal umur 17 tahun sudah diajar berhutang, anak-anak ini tidak boleh disalahkan kerana mereka belum tahu menguruskan kewangan dalam jangka hayat yang muda, sebab itulah, keluar sahaja duit awalan PTPTN, apa yang mereka buat adalah beli motosikal, beli ‘handphone’, dan pelbagai keperluan untuk mereka, bukan dibelanjakan untuk perkara asas untuk belajar.

Selepas sahaja tamat pengajian, mereka sukar mendapat pekerjaan disebabkan mereka tidak ada kualiti, kolej swasta yang hanya mahu mencari untung, bukan mahu melahirkan graduan yang pandai lagi bijaksana, dan ini adalah hakikat sebenar di bawah yang sering kali pemimpin seperti Dr. Mahathir terlepas pandang, sentiasa menyalahkan rakyat yang tidak amanah, walhal pada ketika tahun 1997, kerajaan dengan masalah kewangan terus menekan rakyat dengan kewujudan PTPTN dengan niat untuk mengurangkan beban kerajaan.

Tidak dapat dinafikan ramai anak muda yang berjaya dengan PTPTN namun jumlah itu tidak jauh beza dengan jumlah sebelum kewujudan PTPTN.
Kegagalan Dr. Mahathir adalah apabila memilih jalan Menswastakan Pendidikan Negara!

Masih ingat lagi, pada masa itu, semua institute pengajian tinggi awam (IPTA) mengalami kenaikan yuran mendadak, peningkatan sehingga 10 ke 20 kali ganda semata-mata dengan wujudkan PTPTN, ini dikatakan harapkan pegar, pegar makan padi, seluruh kepimpinan kerajaan termasuk dalam bidang pendidikan melihat wang ringgit sebagai keutamaan dalam pendidikan.

Ke mana kos pendidikan ini pergi kalau bukan ke kantung hutang pelajar? Sementara kerajaan menikmati keselesaan bajet yang kurang untuk mengurus universiti, universiti pula mengambil untung di dalam mendidik.

Dan masalah yang Dr. Mahathir tinggalkan kepada kepimpinan selepas itu adalah untuk melayan permintaan rakyat yang kompleks dengan pembangkang yang sering memanupulasi keadaan sehingga rakyat lupa akan tanggungjawab sebenar kerajaan.

Dr. Mahathir hari ini menjawat jawatan Perdana Menteri sekali lagi, beliau malu dengan masyarakat yang beliau sendiri wujudkan, dan ini semua tidak lagi terlewat sekira beliau sedar akan kesilapan beliau apabila menukar dasar Pendidikan Negara pada tahun 1997.

Jangan lagi menyalahkan rakyat, rakyat hanya mengikut dasar apa yang terhidang kepada keadaan yang dicipta oleh kerajaan.
Ini adalah diantara kegagalan Tun Dr Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri sebelum ini. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.