Persiapan Perhimpunan Agung UMNO 2018 Lancar
KUALA LUMPUR, 22 Sept – Raptai penuh perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2018 di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pagi ini berjalan lancar menjelang hari pembukaannya pada 28 September ini.
Raptai bermula seawal 7.30 pagi di bawah pemantauan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan dimulakan dengan upacara menaikkan bendera sayap-sayap UM NO disusuli dengan nyanyian lagu parti ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.
Selain raptai di luar dewan, raptai juga akan diadakan bagi majlis di dalam dewan yang membabitkan persidangan ketiga-tiga sayap pergerakan UMNO dan perasmian perhimpunan agung di Dewan Merdeka, PWTC.
Menurut Sumali yang merupakan Setiausaha Kerja UMNO yang baru, raptai kali ini adalah antara persediaan terakhir sebelum perasmian perhimpunan agung itu.
“Setakat ini persiapan kita berjalan lancar… lebih 70 peratus.
“Perhimpunan kali ini amat penting untuk kita kembali menyemai dan merapatkan saf antara satu sama lain dalam kita membina kembali parti keramat ini,” ujar beliau kepada UMNO-Online.
Jelasnya, terdapat perubahan dalam acara pada perhimpunan kali ini apabila upacara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa akan diadakan diadakan sebelum persidangan sayap.
“Selain itu ucapan dasar Presiden pula akan berlangsung pada sebelah malam iaitu hari Sabtu selepas tamatnya persidangan sayap-sayap UMNO.”
PAU 2018 akan berlangsung bermula 28 sehingga 30 September ini di PWTC dengan anggaran 5,739 perwakilan dijadualkan menghadiri perhimpunan itu. – MediaUMNO